Friday 27 April 2018

Hilangnya al-Quran dari dada-dada huffaz


Status kisah hilangnya surah/ayat quran dari mushaf dan kaitan surah al-Kahfi dengan peristiwa dajjal

Tanda kiamat - Quran akan hilang dari mushaf dan dari hati pengamalnya

Memang terdapat bukti dari al-Quran dan hadits tentang peristiwa al-Quran akan lenyap dari dunia apabila tiba saatnya nanti.

Dalil:

Allah S.W.T berfirman:

Dan sekiranya Kami kehendaki nescaya Kami akan hilangkan apa-apa yang telah Kami wahyukan kepada kamu kemudian kamu tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya.(Surah Al-Isra’: 86)

Mengulas ayat ini, al-Imam al-Thabari menukilkan kata-kata daripada Abdullah Ibnu Mas’ud R.A bahawa beliau mentakwilkan ayat ini dengan katanya: Allah menghilangkan apa-apa yang diwahyukan kepadanya itu adalah dengan cara mengangkatnya dari dada-dada para qurra’. Lihat Tafsir al-Thabari (hlm. 290).


 “Akan ditinggalkan al-Quran pada malam tersebut dan tidak akan kekal satu ayat di dalam mushaf (al-Quran) dan uga di dalam hati seseorang melainkan ia (al-Quran) telah diangkat”.
 (HR ad-Darimi, 3209 dengan sanad yang sahih)

Telah berkata al-Laith bin Sa’ad: dikatakan al-Quran itu terangkat apabila manusia mula meninggalkan al-Quran. (Fath al-Mannan, 10/488)


Kes-kes kejadian ayat al-Quran hilang dari mushaf

Walaupun kisah-kisah ini dilaporkan di beberapa tempat di dalam negara, kesahihannya tidaklah boleh diterima sebegitu sahaja tanpa melakukan pengumpulan maklumat dan kajian yang lebih terperinci. Ada juga kisah melaporkan kehilangan surah-surah lain selain al-kahfi seperti di Parit Buntar, Perak dan Johor Bharu.[1-2]

Justeru, apa yang berlaku di tanah air dan juga di tempat-tempat yang lain sebelum ini bukanlah bermaksud al-Quran itu diangkat ke langit, kerana maksud yang sebenarnya ialah diangkat semua iaitu hilang huruf dan ayat dari mushaf begitu jua dengan ketiadaan huffaz.

Mufti wilayah persekutuan dalam Bayan Linnas siri 54 [3], berpendapat kejadian yang berlaku adalah disebabkan beberapa perkara yang perlu diambil kira.

Antaranya:

· Berlakunya salah cetak terhadap mushaf itu.
· Mutu kualiti kertas yang digunakan adalah dari jenis yang rendah.
· Semakan yang tidak rapi terhadap mushaf tersebut.
· Terlangkah atau terlangkau ayat ketika proses percetakan berlaku.
· Mutu dakwat yang digunakan kurang berkualiti yang mana boleh membawa kepada hakisan.

Mereka berpendapat sedemikian kerana, terdapat banyak lagi syarikat percetakan yang berwibawa seperti Majma’ Malik al-Fahd yang terletak di Madinah, Arab Saudi tidak berlaku masalah seperti ini.

Walaubagaimanapun, untuk menolaknya seratus peratus juga adalah kurang wajar, kerana tidak ada yang mustahil bagi Allah apabila berkehendakkan berlakunya sesuatu.

Kesimpulan:

Kisah mushaf hilang ini seharusnya perlu disikapi dengan sikap pertengahan iaitu tidak menolak mentah-mentah ataupun mempercayai bulat-bulat tanpa memahami dengan fakta yang sebenar. Yang perlu kita yakini adalah al-Quran ini tetap dijaga Allah sehinggalah diangkat dari dada-dada huffaz dan mushaf pada hari yang dijanjikan. Justeru itu, kita seharusnya belajar, membaca serta mentadabbur maknanya dan dijadikan pedoman.


Surah al-kahfi menyelamatkan dari fitnah dajjal

Banyak hadits-hadits Nabi saw yang menjelaskan keutamaan surah al-Kahfi.

Dalil:


Dari Abu Darda, dari Nabi saw bersabda,

 “Barangsiapa menghafal sepuluh ayat pertama surat al-Kahfi maka dia akan dijaga dari Dajjal”
(HR Muslim, 809; Abu Daud, 3765; Ahmad, 26244)-semua jalur periwatannya sahih.

Imam Nawawi dalam syarah muslim berkata, “(Kenapa dianjurkan untuk dibaca surah al- Kahfi?) Kerana di awal surah tersebut terdapat ayat-ayat yang menakjubkan. Siapa yang mahu merenungkannya, nescaya ia akan terlindung dari fitnah Dajjal. Sebagaimana pula dalam akhir-akhir ayat surat tersebut,

Juga dari Abu Sa’id Al Khudri, Nabi saw bersabda,

Barangsiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat
(HR. Al Baihaqi dalam Al Kubro 3: 249; Ad-Darimi 2:246. Syaikh Albani mengatakan bahawa hadits ini sahih sebagaimana dalam Sahihul Jami’ no. 6470, 6471 masing-masing).

Di dalam surah Al-Kahfi sungguh banyak kisah-kisah yang dapat dijadikan pengajaran, mulai dari kisah ashabul kahfi, kisah Nabi Musa dan Khidir, dan kisah Zulqarnain, juga terdapat penetapan hari kebangkitan. Oleh kerana itu, sudah selayaknya surah ini dibaca, lebih baik lagi dihafalkan. Waktu terbaik untuk membacanya adalah di hari Jumaat, seperti yang disarankan oleh Nabi saw.


Kesimpulan:

Kenyataan dari video berkenaan berdasarkan hujah dari hadits-hadits sahih dan warid diamalkan.


Catatan:

Warid
Beribadah mengikuti cara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw

Qurra’
Para penghafaz al-Quran




________________________________________________________________

Rujukan

1)     Khairil Anwar, M. A. (2016, March 8). Ayat al-Quran hilang bertambah enam muka surat. Sinar [Kuala Lumpur]. Dicapai dari http://www.sinarharian.com.my/nasional/ayat-al-quran-hilang-bertambah-enam-muka-surat-1.494557

2)    Tidak Bernama. (2017, June 30). Lapan muka surat al-Quran ghaib. Harian Metro [Johor Bharu]. Dicapai dari https://www.hmetro.com.my/utama/2017/06/241084/lapan-muka-surat-al-quran-ghaib

3)    Zulkifli, M. A. (2016, March 9). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - BAYAN LINNAS SIRI 54: AYAT AL-QURAN HILANG DARI MUSHAF? Dicapai dari http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1775-bayan-linnas-siri-54-ayat-al-quran-hilang-dari-mushaf

Selesai


Tinta Salatin, 27 April 2018, 3.49 pm

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...