Friday 15 March 2019

Doa Bulan Rejab



 اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ (وَبَلِّغْنَا) لَنَا فِي رَمَضَانَ



Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadhan”.

Antara kitab-kitab yang menyebut lafaz doa seperti di atas adalah:

Di dalam Musnad Imam Ahmad: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW bersabda:


كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: “اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ”. وَكَانَ يَقُولُ: ” لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ، وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ”.

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”. [Musnad Imam Ahmad, no. Hadith 2228]



Imam Ibn Sunni, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bazzar dan Abu Nu’aim juga menyebut hadith ini di dalam kitab mereka: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW bersabda:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ: “اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ”. قَالَ: وَكَانَ يَقُولُ: “إِنَّ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ لَيْلَةٌ غَرَّاءُ، وَيَوْمَهَا يَوْمٌ أَزْهَرُ”.


Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”. [Ibn Sunni, Amal al-Yaum wa al-Lailah, 1:610, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, 5:348, no. Hadith 3534, al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, 13:117, no. Hadith 6496 dan Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliya’, 6:269]


Hukum Hadith

Hadith ini dihukum dhaif pada sanadnya oleh para ulama’ hadith. Antaranya ialah:

Imam al-Nawawi. [Al-Azkar, 1:189]
Imam Ibn Rejab. [Lathaif al-Ma’arif, 1:121]
Syeikh Syu’aib al-Arnaout. [Sunan Abu Daud, 4: 180]


Di dalam sanad hadith ini terdapat dua kecacatan sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli hadith:

Pertama: Pada Zaidah bin Abi al-Ruqqad (زائدة بن أبي الرقاد)

Imam al-Bukhari, al-Nasa’ie dan al-Hafiz Ibn Hajar menghukumnya sebagai "mungkar al-Hadith”.

Abu Hatim mengatakan bahawa “riwayat Zaidah daripada Ziyad adalah riwayat yang marfu’ tetapi mungkar dan kita tidak mengetahui adakah ia (hadith) daripadanya atau daripada Ziyad”.

Kedua: Pada Ziyad al-Numairiy (زياد النميري)

Ibn Ma’in dan Abu Daud "mengdhaifkannya”.

Abu Hatim mengatakaan “ditulis hadithnya tetapi tidak boleh berhujah dengannya”.

Ibn Hibban menyatakan di dalam “al-Thiqat bahawa dia (Ziyad) tersalah dan di dalam al-Majruhin sebagai mungkar al-Hadith. Dia meriwayatkan daripada Anas perkara-perkara yang tidak menyamai hadith daripada orang yang thiqat dan tidak boleh mengambilnya sebagai hujjah”.

Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan dia (Ziyad) adalah “dhaif”.


Tarjih

Setelah kami melihat dan menekuni pendapat para ulama’ berkaitan kesahihan hadith ini, maka cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini sanadnya teramat lemah kerana padanya terdapat dua orang perawi yang bermasalah serta dalam masa yang sama kita tidak boleh menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

Walaubagaimanapun, matan atau teks hadith tersebut tidak mempunyai masalah jika kita ingin berdoa dengannya. Ini kerana di dalam berdoa, kita dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah SWT selagimana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.


Sumber

Irsyad al-Hadith Siri ke-41: Status doa berkenaan Rejab, Syaaban dan Ramadan

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...