Saturday, 12 October 2019

Maksud hadith hasan gharib Imam Tirmidzi dan cara berinteraksi dengannya



Adapun istilah “hasan gharib” tidak sama dengan istilah hadith hasan. Yang dimaksudkan dengan hadith hasan gharib adalah hasan (bagus) secara sanad dan tidak dikenal/asing (gharib) disebabkan kerana salah seorang perawinya meriwayatkan hadith tersebut seorang diri.

Adapun istilah hadith “hasan” yang mana Imam Tirmidzi tidak menambahkan lafaz gharib sesudahnya, maka yang beliau maksudkan adalah hadith “hasan li ghairihi” (hadith yang pada asalnya dhaif, namun kemudian menjadi hasan kerana terdapat riwayat lain yang menaikkan darjat hadith tersebut sehingga menjadi hasan.

Oleh sebab itu, penuntut ilmu hendaklah berwaspada dalam masalah ini, yakni bahawa setiap hadith yang dikatakan oleh Imam At-Tirmidzi hadith hasan, maka sanadnya adalah dhaif, namun beliau mengetahui bahawa terdapat hadith lain sebagai mutaba’at (pendukung) dan syawahid (penguat), yang pada akhirnya menaikkan darjatnya dari dhaif menjadi hasan. Maksudnya, dhaif dari segi sanad, tetapi hasan dari segi matan (isi hadith), yang mana kenaikan darjat tersebut merupakan hasil dari matannya, disebabkan kedatangannya melalui jalan-jalan sanad yang lain.

Adapun jika ia berkata “hadith gharib” maka kebanyakan yang ia maksudkan adalah “dhaif“, iaitu secara sanad.


Menurut Dr Kamilin Jamilin:-

Tetapi tidak semua hasan gharib itu bernilai dhaif. Menurut Dr. Khalid al-Durays yang telah menganalisis kesemua himpunan hadith “hasan gharib” yang mencecah 513 hadith mengikut naskah al-Kharrukhiy, beliau mendapati 56.5 % sanadnya dhaif, 28.1% pula sanadnya berstatus hasan lizatih, 15.4 % pula bertaraf sahih.


Menurut Dr. Rozaimi Ramle:-

Hasan gharib: merangkumi 2 maksud:

1. Maksudnya ialah hasan lizatih. Ini merangkumi lafaz: “Hasan gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan dengan jalur ini” atau “hasan gharib”.

2. Tetapi jika Tirmidzi sebut “hasan gharib dari jalur ini” maknanya ialah hasan lighairih yang mempunyai banyak jalur tetapi jalur yang Imam Tirmidzi bawakan dalam sunannya gharib iaitu gharib nisbi.


- Sebahagian pengkaji menetapkan maksud asal bagi istilah ini iaitu hadith hasan yang bermaksud hadith riwayat perawi soduq (tidak sekuat hadith sahih) dan gharib iaitu hadith yang berlaku tafarrud pada sanadnya. (al-Zarkasyi, al-Nukat, 1/377).

- Sebahagian pengkaji pula menyatakan bahawa hasan gharib di sisi al-Tirmdizi ialah hasan lizatihi. Kebanyakan pengkaji cenderung ke arah pandangan ini antaranya Syeikh Nuruddin ‘Itr. (al-Jawahir al-Sulaimaniah, hal. 69, al-Durayyis, al-Hadis al-Hasan, 3/ 1417-1418).

- Sebahagian pengkaji pula menyatakan bahawa hasan gharib di sisi al-Tirmidzi bermaksud hadith hasan yang lafaz teksnya gharib (iaitu lafaznya datang dari jalur tersebut sahaja) walaupun maknanya disokong oleh hadith lain. (al-Judai’, Tahrir ‘Ulum al-Hadith, 3/110).

- Sebahagian pengkaji pula menganggap hadith hasan gharib di sisi al-Tirmidzi bermakna dhaif. Syeikh Bassyar al-Awwad antara yang memilih pandangan ini.

- Terdapat sebahagian pengkaji yang cenderung untuk mengatakan tiada beza antara hasan dan hasan gharib di sisi al-Tirmidzi melainkan gharib tersebut diletakkan pada hadith sekadar untuk memberitahu keadaan tafarrud pada sanad atau matannya. (al-Duraiyyis, al-Hadith al-Hasan, 3/ 1426-1427).


Rujukan

Fatwa Islamweb no. 358777

Ensiklopedia Fatwa-fatwa Syeikh Nashiruddin Al-Albani, hal. 49-50.

Al-Syadz wa Al-Munkar wa Ziyadah Al-Thiqah: Muwazanah Baina Al-Mutaqaddimin wa Al-Mutaakhirin, hal. 336.

FB rasmi Dr. Kamilin Jamilin, Seni hadith.

FB rasmi Dr. Rozaimi Ramle.

al Jami’ wa manhaj at-Tirmidzi fiih, hal. 17.

Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Metodologi Imam Tirmidzi dalam (www.ipgktb.edu.my)

No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...