Kisah Ukasyah mencium perut Rasulullah SAW dikatakan ia diriwayatkan
oleh Ibn Abbas RA di dalam Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Thabarani dengan
panjang lebar. Di sini hanya dibentangkan sebahagian daripada teks atau
matannya kerana kisah ini sudahpun masyhur di tengah-tengah masyarakat akan
jalan ceritanya.
Matan hadith
ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا عُكَّاشَةُ
اضْرِبْ إِنْ كُنْتَ ضارِبًا. فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، ضَرَبْتَني وَأَنَا حاسِرٌ
عَنْ بَطْنِي. فَكَشَفَ عَنْ بَطْنِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَصَاحَ
الْمُسْلِمُونَ بِالْبُكَاءِ، وَقَالُوا: أَتُرَى عُكَّاشَةُ ضَارِبٌ رَسُولَ
اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَلَمَّا نَظَرَ عُكَّاشَةُ إِلَى بَيَاضِ
بَطْنِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَأَنَّهُ، وَقَبَّلَ
بَطْنَهُ
Terjemahan
Rasulullah SAW berkata: Wahai Ukasyah, pukullah aku jika benar bahawa
aku pernah memukulmu”. Maka Ukasyah berkata: “Wahai Rasulullah, kamu telah
memukulku dalam keadaan perutku terdedah”. Lalu Rasulullah SAW mendedahkan
perutnya dalam keadaan umat Islam menangis dengan penuh kesyahduan. Mereka
berkata: “Adakah kamu akan melihat Ukasyah memukul Rasulullah SAW?”. Apabila
Ukasyah melihat putihnya perut Rasulullah SAW, maka beliau terus menciumnya.
Takhrij
HR. at-Thabarani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir no. 2676, lalu darinya
diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam kitab Hilyatul Aulia, 4/74, melalui jalurnya
juga diriwyatkan oleh Ibnu Jauzi dalam kitabnya Al-Maudhu’at, 1/295-301.
Al-Haithami berkata setelah menyampaikan hadith ini: “Diriwayatkan oleh
Thabrani, di dalam (sanad)nya terdapat Abdul Mun’im bin Idris, dia dikenal sebagai
pendusta dan pemalsu hadith (Majma Zawaid 8/605).
Imam Ibn al-Jauzi dengan menyatakan hadith ini adalah palsu dan semoga
Allah SWT mnghukum kepada sesiapa yang berniat merosakkan syariah dengan
kekeliruan yang dingin dan ucapan yang tidak layak disandarkan kepada Nabi SAW
dan juga para sahabat. (al-Mawdhu’at 1/301).
Imam al-Suyuthi juga menilai hadith atau kisah ini sebagai palsu (al-La’aali
al-Masnu’ah, 1/257).
Imam Ibn Iraq al-Kinani menyatakan salah seorang perawi di dalam hadith
tersebut dinilai sebagai pendusta iaitu Abdul Mun’im bin Idris (Tanzih
al-Syari’ah 1/331).
Imam al-Syaukani di dalam kitabnya menyatakan hadith ini telah
dirosakkan oleh Abdul Mun’im bin Idris bin Sinan (al-Fawaid al-Majmu’ah hal.
324).
Sanad kisah ini paslu dan memiliki tiga
cacat:
a)
Abdul
Mun’im bin Idris bin Sinaan Al-Yamaniy tidak pernah mendengar hadith dari bapanya
satu riwayat pun (Miizaan Al-I'tidaal 2/668, Lisaan Al-Miizaan 5/279).
b)
Periwayatan
hadith dari Abdul Mun’im sangat lemah dan dituduh sebagai pemalsu hadith;
Al-Bukhari dan Abu Ahmad Al-Hakim berkata: ذاهب
الحديث (hadithnya sangat lemah). Al-Fallaas
berkata: Periwayatannya ditolak (matruk). Abu Zur’ah berkata: واهي الحديث (hadithnya sangat lemah). Dan
Ibnu Hibban berkata: Ia memalsukan hadith dari bapanya dan selainnya.
Az-Zahabiy mengatakan: Ia terkenal dengan riwayat kisah-kisah yang tidak boleh
dipercayai (Al-Majruhin 2/157).
c)
Idriis
bin Sinaan, Abu Ilyas Ash-Shan’aniy. Ibnu ‘Adiy dan Ibnu Hajar berkata: Ia
lemah. Ad-Daraquthniy berkata: Hadithnya ditolak (matruk) (Taqrib At-Tahdzib
hal. 97, Adh-Dhu'afaa' Ad-Daruquthni 1/259).
Adapun, kisah Ukasyah ini adalah palsu dan tidak boleh sama sekali kita
menyampaikannya kepada orang lain melainkan untuk menyatakan kepalsuannya. Akan
tetapi kisah yang hampir sama ini berlaku kepada Usaid bin Hudhair dan bukannya
kepada Ukasyah. Hadith tersebut adalah:
Matan hadith
بَيْنَمَا هُوَ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ وَكَانَ فِيهِ مِزَاحٌ بَيْنَا
يُضْحِكُهُمْ فَطَعَنَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي
خَاصِرَتِهِ بِعُودٍ. فَقَالَ: أَصْبِرْنِي. فَقَالَ: اصْطَبِرْ. قَالَ: إِنَّ
عَلَيْكَ قَمِيصًا وَلَيْسَ عَلَيَّ قَمِيصٌ، فَرَفَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَمِيصِهِ، فَاحْتَضَنَهُ وَجَعَلَ يُقَبِّلُ كَشْحَهُ،
قَالَ إِنَّمَا أَرَدْتُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ
Terjemahan
Ketika dia (Usaid bin Hudhair) sedang berbual dengan kaumnya dan di
dalamnya terdapat gurauan yang membuatkan mereka tertawa. Maka Nabi SAW telah
memukul pinggangnya dengan sebatang kayu. Maka dia berkata: “Beri saya
kesempatan untuk melakukan qisas (membalas dengan yang setimpal)”. Beliau
bersabda, “Silakan membalas.” Dia berkata, “Kamu memakai baju, sedangkan aku
(ketika kamu memukulku) tidak memakai baju.” Maka Rasulullah SAW mengangkat
bajunya. Maka dia terus memeluk dan mencium pinggang Rasulullah SAW sambil
berkata: “Inilah yang aku inginkan wahai Rasulullah.
Takhrij
HR. Abu Daud no. 5224, dari jalurnya juga diriwayatkan oleh Baihaqi
dalam Syuabul Iman no. 13586. Diriwayatkan pula oleh at-Thabrani dalam
Al-Mu’jam Al-Kabir no. 556, al-Hakim dalam Mustadrak 3/327, Ibnu Asakir dalam
Tarikh Dimasyq 9/76 dan Al Baghawi dalam Syarhus Sunnah Bab Al Qishahsh fil Athraf
10/169.
Al-Hakim mensahihkan sanadnya dan dipersetujui oleh az-Zahabi.
Syeikh al-Arnauth menyatakan ketika menilai hadith ini bahawa
perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai) tetapi Abdulrahman bin Abi Layla tidak
bertemu Usaid bin Hudhair (Ta’liq Musnad Ahmad, 17/329).
Syeikh al-Albani menilai hadith ini sahih (Sahih wa Dhaif Sunan Abi Daud
no. 2554).
Rujukan
Irsyad al-Hadith no. 295, Mufti Wilayah Persekutuan
Fatwa Soaljawab Islam no. 100100.
No comments:
Post a Comment