Sunday, 3 November 2019

Takhrij Hadith Jazallahu anna Sayyidina Muhammadan Sallallahu Alaihi wa Salam

Hadith Jazallahu anna Sayyidina Muhammadan Sallallahu Alaihi wa Salam


Rajah sanad dan hadith


Kredibiliti para perawi


1. Ja’afar bin Isa
a) Abu Hatim: Dhaif (Mizan ‘itidal 1/413); Dhaif, Jahmi (Tarikh al-Islam 5/288)
b) Abu Zur’ah: Saduq (Jarh waTa’dil 2/485, Mizan ‘itidal 1/413)

2. Risydin bin Sa’d
a) Yahya bin Mai’n: Hadith beliau tidak ada nilai (Makrifah Rijal Ibn Mai’n 1/51)
b) Abu Hatim: Perawi yang munkar (Tahzibut Tahzib 3/240)
c) Abu Zur’ah: Dhaif (Tahzibut Tahzib 3/240)
d) An-Nasaie: Perawi yang matruk (Tahzibut Tahzib 3/240)
e) Ibnu Hajar al-Asqhalani: Dhaif (Taqribut Tahzib hal. 36)

3. Hani bin Mutawakil
a) Abu Hatim: “Aku bertemu dengan beliau, tetapi aku tidak mendengar apa-apa hadith darinya” (Jarh waTa’dil 9/102)
b) Ibnu Hibban: Terdapat banyak hadith-hadith yang munkar masuk dalam riwayatnya dan dia menerimanya saja, maka tidak boleh berhujjah dengannya dalam keadaan apapun (al-Majruhin 2/446)

4. Muawiyah bin Saleh
a) Abu Hatim: Salehul hadith (Siyar ‘alam an-Nubala 13/24)
b) Abu Zur’ah: Tsiqah muhaddith (Siyar ‘alam an-Nubala 13/24)
c) al-‘Ijli dan an-Nasaie: Tsiqah (Siyar ‘alam an-Nubala 13/24)
d) Imam Tirmidzi: Tsiqah menurut para ahli hadith (Sunan Tirmidzi no. 2653)

5. Ja’afar bin Muhammad
a) Abu Hanifah: “Tidak ada orang yang lebih faqih daripada Ja’far bin Muhammad.” (Siyar A'lam al-Nubala', 11/319)
b) Abu Hatim: "(Dia) tsiqah, tidak perlu dipertanyakan orang sekaliber dia" (Jarh waTa’dil 2/487)
c) Ibnu Taimiyyah:“Sesungguhnya Ja’far bin Muhammad termasuk imam, berdasarkan kesepakatan Ahli Sunnah”(Minhaj al-Sunnah, 2/245)

6. Ikrimah Maula Ibnu Abbas
a) Abu Hatim: Tsiqah (Tahdzibul Kamal 20/289)
b) Yahya bin Ma’in: Tsiqah (Tahdzibul Kamal 20/288)
c) An-Nasaie: Tsiqah (Tahdzibul Kamal 20/289)

7. Ibnu AbbasSahabat 



Hadith  ini diriwayatkan oleh:-

a) al-Imam al-Thabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir no. 11509; al-Mu'jam al-Ausath no. 235; Musnad al-Syamiyyin no. 2070

b) al-Imam Abu Nu'aim dalam Hilyah al-Auliya' no. 3938  dan Akhbar Ashbahan no. 1589, 1819

c) al-Imam al-Khathib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad no. 4441

d) Ibnu Syahin dalam at-Targhib fi al-Fadhail no. 15

e) Ismail Asbahani dalam Targhib wat Tarhib 2/331

f) Al-Khallaie dalam Fawaid Muntaqah 2/153


Kesemua mereka meriwayatkannya melalui kumpulan sanad (Sanad 1) daripada Hani bin al-Mutawakil daripada Muawiyah bin Saleh daripada Ja'afar bin Muhammad daripada Ikrimah daripada Ibn Abbas radhiallahu'anhu.

Terdapat kumpulan sanad (Sanad 2) lain bagi hadith tersebut yang menjadi sokongan kepada sanad ini, iaitu melalui jalur sanad daripada Ja’afar bin Isa daripada Risydin bin Sa'd daripada Mu'awiyah bin Saleh daripada Ja'far bin Muhammad daripada 'Ikrimah daripada Ibn 'Abbas secara marfu', sebagaimana diriwayatkan oleh:

a) Ismail Asbahani dalam Targhib wat Tarhib no. 1700

b) Muhammad bin Khalaf dalam Akhbar al-Qudah 3/273

Namun sanad ini tidak boleh dikuatkan atau menguatkan hadith Hani kerana berkemungkinan besar sanad yang diriwayatkan oleh selain Hani adalah suatu kesilapan.


Buktinya:-

1) Terdapat kenyataan ahli hadith, bahawa hadith tersebut tidak diriwayatkan melainkan hanya dengan sanad Hani bin Mutawakil daripada Muawiyah daripada Ja’afar daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas sehingga Nabi saw.

a) Al-Imam al-Thabarani berkata:

لَمْ يَرْوِ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ عِكْرِمَةَ إِلَّا جَعْفَرُ بْنُ مُحَمَّدٍ ، وَلَا عَنْ جَعْفَرِ إِلَّا مُعَاوِيَةُ بْنُ صَالِحٍ، تَفَرَّدَ بِهِ : هَانِئُ بْننُ الْمُتَوَكِّلِ

"Tidak diriwayatkan hadith ini daripada Ikrimah melainkan oleh Ja'afar bin Muhammad, juga tidak diriwayatkan daripada Ja'afar melainkan oleh Muawiyah bin Saleh. Hani bin al-Mutawakkil berseorangan meriwayatkannya" (Mu'jam al-Ausath, 1/82).

b) Al-Imam Abu Nu'aim turut memberikan kenyataan yang serupa:

هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مِنْ حَدِيثِ عِكْرِمَةَ وَجَعْفَرٍ وَمُعَاوِيَةَ ، تَفَرَّدَ بِهِ  هَانِي بْنُ الْمُتَوَكِّلِ الْإِسْكَنْدَرَانِيُّ

"Hadith ini gharib melalui hadith Ikrimah dan Ja'afar dan Muawiyah, Hani bin al-Mutawakkil berseorangan meriwayatkannya" (Hilyahtul Auliya' 3/206).


2) Walaupun sebahagian ilmuan menganggap jalur sanad yang banyak ini saling menguatkan, ini tidak mungkin terjadi kerana sanad-sanad tersebut bermuara kepada perawi-perawi yang bermasalah:-

a) Perawi yang menjadi sokongan kepada Hani itu sendiri tidak kuat bahkan terlalu lemah (munkar), iaitu Risydin bin Sa'd. Al-Imam Yahya bin Ma'in pernah ditanya berkenaan beliau, jawab al-Imam Yahya bin Ma'in: "Hadith beliau tidak ada nilai" (Ma'rifah al-Rijal Li al-Imam Abi Zakariyya Yahya bin Ma'in 1/51, perawi no. 15). 

b) Dalam sanad yang sama terdapat perawi bernama Ja’afar bin Isa yang didhaifkan oleh Abu Hatim dan beliau berkata dia adalah dhaif dan berfahaman Jahmiah. Namanya juga  dimasukkan dalam kitab Al-Matrukin 1/172 oleh an-Nasaie.



3) Maka keedah untuk menguatkan hadith dari konsep berbilang jalan sanad ini tertolak kerana hadith ini tetap bermuara kepada perawi-perawi yang bermasalah berat (Hani bin Mutawakil -munkar dan Ja’afar bin Isa- matruk) 



Kajian dan Penilaian ulama hadith



1) Al-Bushiri menilai sanadnya sakit (Mutajir Rabih hal. 247)

2) AL-Mundziri berkata tiada kemungkinan untuk menaikkan hadith ini kepada hasan (al-Targhib wa al-Tarhib 2/405)

3) Al-Haithami berkata hadith ini terdapat perawi yang lemah, Hani bin Mutawakil (Majma Zawaid 10/166)

4) Al-Hafiz az-Zahabi menyenaraikan hadith ini sebagai sebahagian hadith munkar yang terdapat dalam riwayat Hani bin al-Mutawakil (Mizan I'tidal 7 /72).

5) Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqhalani menyenaraikan hadith ini sebagai sebahagian hadith munkar yang terdapat di dalam riwayat Hani (Lisan al-Mizan 8/320).

6) As-Sakhawi berkata hadith ini melalui sanad Hani bin Mutawakil adalah dhaif (Qaul Badi’ hal. 66)

7) Hadith ini adalah  dhaif jiddan sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Hadith Dhaif no. 1077. Beliau jua menyatakan ia munkar no. 5109. Ini kerana Hani bin Mutawakil seorang tersangat lemah dan bersendirian pula meriwayatkan hadith ini.

8) Al-Syeikh Dr Khaldun al-Ahdab turut menilai munkar hadith tersebut (Zawaid Tarikh Baghdad 'Ala al-Kutub al-Sittah no. 1258).

9) Dan perkataan “memenatkan” itu jika memang secara diterima secara literal, maka ia bercanggah dengan ayat al-Quran Surah al-Anbiya ayat 19-20:

“Malaikat di sisinya tidak sombong beribadat kepadanya dan mereka tidak letih. Mereka selalu bertasbih malam dan siang”.

dan Surah Fussilat ayat 38:

“Maka mereka (malaikat) yang disisi Tuhanmu bertasbih kepadanya malam dan siang tanpa jemu”. 

Adapun makna memenatkan itu juga difahami sebahagian orang adalah dengan makna disibukkan.


10) Juga, satu perkara yang patut dikaji lebih mendalam adalah ketersambungan sanad antara Ikrimah dan Ja’afar bin Muhammad. Dalam profil mereka dalam Tahzibut Tahzib 5/74 dan 20/264 tidak menunjukkan mereka pernah meriwayatkan hadith antara satu sama lain.




11) Amalan ulama’ bukan dalil

Amalan seseorang bukan dalil walapun dia Ulama. Kerana semua orang mempunyai kebarangkalian silap kecuali Rasulullah saw. Kerana itu apa-apa perselisihan perlulah kebali kepada al-Quran dan Sunnah.


Imam Asy Syafi’i rahimahullah  berkata:

أجمع الناس على أن من استبانت له سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يكن له أن يدعها لقول أحد من الناس

“Para ulama bersepakat bahawa jika seseorang sudah dijelaskan padanya sunnah Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam tidak boleh ia meninggalkan sunnah demi membela pendapat siapapun” (Diriwayatkan oleh Ibnul Qayyim dalam Al I’lam 2/361).


Imam al-Syafie rahimahullah mengatakan dalam kitabnya:-

Dan bila telah tsabit (sahih) dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka itulah yang wajib untuk diikuti oleh setiap orang yang mendengarinya, dan hal itu tidak memerlukan penguat dari yang lainnya, dan hal itupun tidak dapat dibatalkan kerana sesuatu yang lainnya. Bahkan yang diwajibkan atas manusia adalah mengikuti baginda (ittiba’). Dan tidak diperbolehkan sama sekali menjadikan ketetapan seseorang manusia untuk membatalkan ketetapan baginda ( ar-Risalah, hal. 360, no. 905).


Kesimpulan


Hadith ini dhaif berat (munkar). Ini berdasarkan dengan beberapa kaedah dalam musthalah ilmu hadith yang telah diterapkan untuk takhrij hadith ini:- 

a) Apabila terdapat perawi yang munkar dan matruk maka hadith tersebut termasuk dalam kategori dhaif berat (Ulumul Hadith hal. 89; Taqribut Tahzib hal. 74).

b) Majoriti ulama mendahulukan tajrih daripada ta’dil tanpa mengambil kira ramainya bilangan yang menta’dilkan atau kurang. Ini kerana, bagi ulama yang mentajrihkan, beliau mempunyai pengetahuan tentang sesuatu yang tersembunyi pada perawi tersebut yang tidak diketahui oleh yang menta’dilkan (al-Kifayah 1/333; Khulasah al-Ta`sil Li al-‘Ilm al-Jarh Wa al-Ta’dil, hal. 6-7). Jarh Ibnu Hibban serta penjelasannya ke atas Hani bin Mutawakil dimenangkan ke atas mana-mana ta’dil (jika ada) ke atasnya. Ramai ulama telah menjarhkan Hani bin Mutawakil antaranya, Ab Hatim ar-Razi, at-Thabarani, Ibnu Qatthan, Ibnu Hibban, al-Haithami, as-Sakhawi, al-Albani. Kaedah yang sama juga diterapkan pada perawi Ja'afar bin Isa, Jarh Abu Hatim ke atasnya dimenangkan dari ta'dil Abu Zur'ah.

c) Kedua-dua kumpulan sanad 1 dan sanad 2 tidak mampu untuk menguatkan antara satu sama lain kerana kedhaifannya setara, yakni terdapat perawi yang dijarh dengan jarh yang berat [munkar (Hani bin Mutawakil) dan matruk (Ja'afar bin Isa)].


Wallahu 'alam.



Rujukan

Fatwa Soaljawab Islam no. 203866

Fatwa Islamweb no. 147319

3 comments:

  1. Jazakallahukhair.. Moga Allah bimbing kita semua. Aamiin

    ReplyDelete
  2. Allahuakhbar.. Jazakallahukhayr

    ReplyDelete
  3. Masya Allah.
    Sangat lengkap dan teliti penjelasan yang diberikan. Semoga Allah swt merahmati penulis dan semua yang terlibat.

    ReplyDelete

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...