Wednesday, 22 April 2020

Hadith palsu meninggalkan solat



Matan hadith


تَرْكُ صَلَاةِ فَجْرِ وَاحِدَة: سَيُدْخِلُ جَهَنَّمُ لِثَلَاثِيْنَ عَامًا، أَوْ سِتِّيْنَ أَلْف عَامٍ مِنْ أَعْوَامِ الدُّنْيَا. تَرْكُ صَلَاةِ الظُّهْرِ يُعَادِل خَطِيْئَة قَتْل أَلْفَ مُسْلِم. تَرْكُ صَلَاةِ العَصْرِ: يُعَادِل خَطِيْئَة هَدْمِ الكَعْبَةِ. تَرْكُ صَلَاةِ المَغْرِبِ: يُعَادِل الزِّنَا بِالأَبَوَيْنِ. تَرْكُ صَلَاةِ العِشَاءِ، لَنْ يُبَارِكَ لَهُ الله فِي بَقَائِهِ عَلَى الأَرْضِ، تَحْتَ سَمَائِهِ أَوْ فِي مَطْعَمِهِ وَمَشْرَبِهِ

Terjemahan

Meninggalkan satu kali solat Subuh, akan dimasukkan ke dalam neraka selama 30 tahun bersamaan dengan 60000 tahun di dunia. Meninggalkan satu kali solat Zuhur, dosanya sama seperti membunuh 1000 orang Islam. Meninggalkan satu kali solat Asar, dosanya sama dengan meruntuhkan ka’bah. Meninggalkan satu kali solat Maghrib, dosanya sama seperti berzina dengan orang tua. Meninggalkan satu kali solat Isya’ satu, tidak akan di redhai Allah SWT tinggal di bumi atau di bawah langit serta makan dan minum dari nikmat-Nya.


Takhrij

Riwayat ini tidak diketahui asalnya dan ia adalah palsu. Justeru itu, haram bagi kita untuk menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Ini kerana, menyandarkan sesuatu yang tidak diperkatakan oleh Rasulullah SAW adalah satu dosa yang besar.

Tambahan pula, terdapat sebuah lagi hadith yang hampir sama dengan hadith di atas tetapi ia tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar iaitu:



 Matan hadith

مَنْ تَرَكَ صَلَاةَ الصُّبْحِ فَلَيْسَ فِي وَجْهِهِ نُوْرٌ، وَمَنْ تَرَكَ صَلَاةَ الظُّهْرِ فَلَيْسَ فِي رِزْقِهِ بَرَكَةٌ، وَمَنْ تَرَكَ صَلَاةَ العَصْرِ فَلَيْسَ فِي جِسْمِهِ قُوَّةٌ، وَمَنْ تَرَكَ صَلَاةَ المَغْرِبِ فَلَيْسَ فِي أَوْلَادِهِ ثَمَرَةٌ، وَمَنْ تَرَكَ صَلَاةَ العِشَاءِ فَلَيْسَ فِي نَوْمِهِ رَاحَةٌ

Terjemahan

Barangsiapa yang meninggalkan solat Subuh, maka tidak ada cahaya pada wajahnya. Barangsiapa yang meninggalkan solat Zohor, maka tidak ada keberkatan pada rezekinya. Barangsiapa yang meninggalkan solat Asar, maka tidak ada kekuatan pada jasadnya. Barangsiapa yang meninggalkan solat Maghrib, maka tidak ada buah atau hasil yang boleh dipetik daripada anak-anaknya. Barangsiapa yang meninggalkan solat Isya', maka tidak ada kenyamanan di dalam tidurnya.

 Takhrij

Riwayat ini juga tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadith yang muktabar dan ia adalah riwayat atau hadith yang palsu. Justeru itu, haram bagi kita untuk menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Tambahan pula, menyandarkan sesuatu yang tidak diperkatakan oleh Rasulullah SAW adalah satu dosa yang besar sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith-hadith yang sahih berkaitan larangan berdusta di atas nama Nabi SAW (https://www.dorar.net/fake-hadith/110)

Ada juga hadith palsu lain berkenaan dosa meninggalkan solat yang disandarkan kepada Nabi saw daripada Kitab Majalis al-Abrar seperti berikut:-

Ketika Malaikat Jibril turun dan berjumpa dengan Rasulullah SAW, ia berkata, “Wahai Muhammad, Allah tidak akan menerima puasa, zakat, haji, sedekah, dan amal soleh seseorang yang meninggalkan solat. Ia dilaknat di dalam Taurat, Injil, Zabur, dan Al-Quran.
Demi Allah, yang telah mengutusmu sebagai nabi pembawa kebenaran, sesungguhnya orang yang meninggalkan solat, setiap hari mendapat 1000 laknat dan murka. Para malaikat melaknatnya dari langit pertama hingga ketujuh (Terjemah At-Targhib Wa at-Tarhib, hal.33 Al-Hidayah, Surabaya.)

Orang yang meninggalkan solat tidak memperoleh minuman dari telaga syurga, tidak mendapat syafaatmu, dan tidak termasuk dalam umatmu. Ia tidak berhak dijenguk ketika sakit, diantarkan jenazahnya, diberi salam, diajak makan dan minum.

Ia juga tidak berhak memperoleh rahmat Allah. Tempatnya kelak di dasar neraka bersama orang-orang munafik, siksanya akan dilipatgandakan, dan di hari kiamat ketika dipanggil untuk diadili akan datang dengan tangan terikat di lehernya.

Para malaikat memukulinya, pintu neraka jahanam akan dibukakan baginya, dan ia dilempar bagai anak panah ke dalamnya, terjun dengan kepala terlebih dulu, menakik ke tempat Qarun dan Haman di dasar neraka.

Ketika ia menyuapkan makanan ke dalam mulutnya, makanan itu berkata, ‘Wahai musuh Allah, semoga Allah melaknatmu, kamu memakan rezeki Allah namun tidak menunaikan kewajiban-kewajiban dari-Nya.’

Ketahuilah, sesungguhnya bencana yang paling dahsyat, perbuatan yang paling buruk, dan aib yang paling nista adalah kurangnya perhatian terhadap solat lima waktu, solat Jumaat, dan solat berjamaah. Padahal, semua itu ibadah-ibadah yang oleh Allah SWT ditinggikan darjatnya, dan dihapuskan dosa-dosa maksiat bagi siapa saja yang menjalankannya.

Orang yang meninggalkan solat kerana urusan dunia akan celaka nasibnya, berat siksanya, merugi perdagangannya, besar musibahnya, dan panjang penyesalannya. Ia dibenci Allah, dan akan mati dalam keadaan tidak Islam, tinggal di neraka Jahim atau kembali ke neraka Hawiyah.”

Takhrij

Tidak ditemui dalam kitab-kitab hadith muktabar sunnah


Begitu juga dengan hadith berikut:



Matan hadith

ن أبي هـريرة عـن النبي صلى الله عليـه وسلم قال :( من تهاون في الصلاة عاقبه الله بخمسة عشرة عقوبة منها ستة في الدنيا وثلاثة عند الموت وثلاثة في القبر وثلاثة عند خروجه من القبر . أما الستة التي تصيبه في الدنيا :1. ينزع الله البركة من عمره .2. يمسح الله سيما الصالحين من وجهه .3. كل عمل يعمله لا يؤجره الله عليه .4.لا يرفع له دعاء في السماء .5. ليس له حظ في دعاء الصالحين .6. تخرج روحه بغير إيمان .أما الثلاثة التي تصيبه عند الموت فهي :1. أنه يموت ذليلاً .2. أنه يموت جائعاً. 73. أنه يموت عطشاً ولو سقي ماء الدنيا ما روي من عطشه .وأما الثلاثة التي تصيبيه في قبره فهي:1. يضيق الله عليه القبر حتى تختلف ضلوعه .2. يوقد الله عليه في قبره ناراً ويتقلب على الجمر ليلاً ونهاراً .3.يسلط الله عليه في قبره ثعباناً يسمى الشجاع الأقرع يضربه على ترك صلاة الصبح من الصبح إلى الظهر وعلى تضييع صلاة الظهر من الظهر إلى العصر وهكذا كلما ضربه يغوص في الأرض سبعين ذراعاَ .وأما الثلاثة التي تصيبه يوم القيامة فهي :1. يسلط الله عليه من يسحبه إلى نار جهنم على جمر على وجهه .2. ينظر الله تعالى إليه بعين الغضب وقت الحساب فيقع لحم وجهه.3. يحاسبه الله عز وجل حساباً شديداً ويأمر الله به إلى النار وبئس القرار ؟

Terjemahan

Dari Abi Hurairah, dari Nabi saw bersabda : "Barangsiapa yang melalaikan akan solat akan menerima 15 balasan dari Allah. 6 balasan semasa hidup, 3 semasa saat kematian, 3 didalam kubur dan 3 semasa keluar dari kubur (hari akhirat).

Bagi 6 balasan semasa hidup :
1. Allah akan mencabut barakah dari umurnya
2. Allah akan membuang ciri-ciri orang yang baik dari wajahnya
3. Setiap amalan yang dilakukan Allah tidak akan dibalas
4. Do'anya tidak akan naik ke langit
5. Bukan darinya dianggap sebagai do'a orang yang soleh
6. Roh dikeluarkan tanpa Iman

Bagi 3 balasan semasa hendak mati :

1. Mati didalam keadaan memalukan
2. Mati didalam keadaan lapar
3. Mati didalam keadaan haus, walaupun jika ia minum air seluruh lautan sekalipun ia masih haus.

Bagi 3 balasan semasa didalam kubur :

1. Allah menyempitkan kuburnya sehingga tulang rusuknya bertemu
2. Allah membakar kuburnya dengan api dan menukarkan bahan pembakar api siang dan malam
3. Allah menghantarkan seekor ular yang bernama "al-syujaa'" yang akan memukulnya dari pagi sehingga tengahari kerana meninggalkan solat Subuh, dari tengahari sehingga Asar kerana meninggalkan Asar dan seterusnya. Dengan setiap pukulan ia boleh menimbuskan seseorang sejauh 70 ela kebawah tanah.

Bagi 3 balasan dihari Kiamat :

1. Allah menghantar mereka yang bersamanya kedalam neraka dengan cara menarik mukanya.
2. Allah melihatnya dengan marah yang menyebabkan daging dimukanya jatuh ke bawah
3. Allah mengadilkannya secara ketat dan mencampakkannya kedalam api neraka dan ia adalah satu keputusan yang buruk! (Irsyâdu al-‘Ibad karya Syekh Zainuddin al-Malibari dalam bab Fadhlish Shalâtil Maktubah)

Takhrij

Al-Imam bin Iraaq menyebut bahawa hadith ini dusta ke atas nama Rasulullah saw yang dinisbatkan secara zalim kepada perkataan 2 Imam iaitu Al-Zahabi dan Ibn Hajar dan persetujuan mereka berdua. (Tanzih Al-Shariah, 2/114; Fatawa al-Lajnah, Daimah 4/468 no. 8689).

Walaubagaimanapun sedia diketahui, solat itu sememangnya wajib dikerjakan. Meninggalkannya dengan sengaja atau melalikannnya pula diancam dengan azab yang sangat dasyat seperti yang terdapat dari nas al-Quran dan hadith yang sahih lain.

Allah berfirman,

وَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ  الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” (QS. Al Maa’un: 4-5)


Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ

“(Pembatas) antara seorang muslim dan kesyirikan serta kekafiran adalah meninggalkan solat.” (HR. Muslim no. 257).

Ibnu Qayyim Al Jauziyah –rahimahullah- mengatakan.
“Kaum muslimin bersepakat bahawa meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja adalah dosa besar yang paling besar dan dosanya lebih besar dari dosa membunuh, merampas harta orang lain, berzina, mencuri, dan minum minuman keras. Orang yang meninggalkannya akan mendapat hukuman dan kemurkaan Allah serta mendapatkan kehinaan di dunia dan akhirat.” (Ash-Sholah, hal. 7)


Kata Syeikh Daud Abdullah Fathani,

“Kita wajib memaksa ahli keluarga, anak-anak dan orang-orang di bawah jagaan kita supaya mendirikan solat dan jangan biarkan mereka menguzurkan diri. Dan bagi mereka yang tidak mematuhi suruhan maka hendaklah kita menakutkan mereka, memaksa dan memarahi mereka dengan bersungguh-sungguh seolah-olah mereka telah merosakkan harta benda milik kita. Jika kita tidak bertindak demikian maka kita dikira sebagai orang yang meringan-ringankan tuntutan Allah dan RasulNya. Sesungguhnya orang yang mengabaikan tuntutan Allah lebih-lebih lagilah solatnya, maka orang ini tidak ada kebajikan darinya serta tidak ada keberkatan untuk kita hidup bersama-sama dengannya kerana mereka ini telah melanggar perintah Allah dan rasulNya” (Munyatul Mushalli hal. 70).



Rujukan

Irsyad al-Hadith no. 359

Fatwa Soaljawab Islam no. 20897, 112176, 202724

Fatwa Syabakah Islamiyah no. 3275, 53669

Fatwa Thariqah Islam no. 29838

No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...