Matan hadith
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا طَلَعَ النَّجْمُ ذَا صَبَاحٍ رُفِعَتْ
الْعَاهَة
Terjemahan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam Bersabda: "Jika bintang
muncul di pagi hari maka hama akan diangkat."
Takhrij
HR. Ahmad no. 8139 dari Abu Hurairah ra. Dihasankan oleh Syeikh
al-Arnauth.
Hadith tersebut adalah berkaitan muamalat BUKAN wabak. Ia jelas
menunjukkan perkataan " الْعَاهَة " yang
bermaksud hama yang menyebabkan penyakit pada buah.
Buktinya? kita lihat hadith seterusnya...
Matan hadith
سَأَلْتُ ابْنَ عُمَرَ
عَنْ بَيْعِ الثِّمَارِ فَقَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الثِّمَارِ حَتَّى تَذْهَبَ الْعَاهَةُ قُلْتُ وَمَتَى
ذَاكَ قَالَ حَتَّى تَطْلُعَ الثُّرَيَّا
Terjemahan
"Aku bertanya kepada Ibnu Umar tentang menjual buah-buahan (yang
masih muda). Ibnu Umar lalu menjawab, "Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam melarang menjual buah-buahan hingga penyakitnya hilang." Aku
tanyakan, "Bilakah itu?" Ia menjawab, "Hingga terbit sekumpulan
bintang-bintang."
Takhrij
HR. Ahmad no. 4859 dari Ibnu Umar ra. Syeikh al-Arnauth berkata sanadnya
sahih sesuai dengan persyaratan Bukhari.
Wabak hilang musim panas?
Ia ada perkataan yang dinaqalkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani
melalui pengalaman beliau ketika terjadinya thaun yang mengorbankan 3 anaknya.
Menurut Imam Ibn Hajar Al-Asqallani yang kehilangan anaknya kerana
wabak thaun, berkata bahawa “pada umumnya wabak penyakit terjadi pada
pertengahan musim bunga setelah keluar dari musim sejuk, kemudian terangkat
pada awal musim panas” (Badzlu al Maun Fi Fadhli al Thaun, hal. 369).
Analisis perkaitan wabak Covid-19 dan bintang Tsurayya
1) Hadith-hadith yang
menerangkan bintang Tsurayya dan wabak adalah dhaif menurut jumhur ulama
hadith (Fathul Bari fi Tartib al-Fiqhiy li Tamhid, 12/238).*
2) Menterjemahkan
al-‘ahah dengan wabak/virus yang menular adalah berlebihan dan tidak benar.
Al-‘ahah dalam Mu’jam al-Wasith dimaksudkan sebagai “bahaya atau penyakit yang
menimpa tanaman dan ternak. Tetapi ada juga yang menujukan kepada manusia,
yakni dalam pengertian sakit pada bahagian tubuh tertentu atau kecacatan
fizikal (ahadu a’dha’i al-insan) atau bahaya atau sakit yang jelas di mata
kasar (Al-Mu’jam al-Ra’id, Al-Mu’jam al-Ghani).
3) Dalam konteks ternakan,
al-‘ahah ia terdapat dalam hadith larangan mencampurkan unta yang sihat dengan
unta yang sakit (dzu ‘ahah) (HR Muslim no. 2221 dan Abu Daud no. 3411).
4) Dalam konteks tanaman
pula, ditemukan dalam bab etika, larangan menjual buah sebelum jelas
kualitinya. (HR. Abu Daud no. 2928, Ahmad no. 4859).
5) Hadith tular yang
dikaitkan dengan bintang Tsurayya itu adalah berkaitan dengan ‘ahah
buah-buahan, bukan haiwan atau manusia, ia sama sekali tidak dikaitkan dengan
terbitnya bintang Tsurayya.**
6) Hadith tentang ‘ahah
buah-buahan menjelaskan tentang fakta pada masa Rasulullah (abad ke-7 Masihi)
di Hijaz, bahawa ada penyakit buah-buahan yang terkadang menyerang tanaman pada
musim sejuk, tetapi akan hilang pada awal musim panas.*
7) Ini menunjukkan
kemunculan bintang Tsurayya menandakan kemuncak musim panas di Hijaz dan musim
kematangan buah, bukan kerana Tsurayya maka panas bumi meningkat dan penyakit
tanaman mati (Fathul Bari 4/395).
8) Disebutkan oleh Ibnu
Abdil Barr, menurut para ahli bahawasanya, kemunculan bintang Tsurayya terjadi
12 hari selepas dari bulai Mei (al istidzkar 6/306). Ini menunjukan imej
bintang tersebut hanya khusus di daerah Hijaz dan sekitarnya (himesfera utara)
pada waktu pagi (awal subuh) dari langit timur lebih kurang pada hujung bulan
Jun. Oleh kerana bumi ini bulat, bintang Tsurayya tidak muncul sama waktu
disetiap negara, dan musim pun berbeza-beza di antara satu negera dengan
lainnya. Buktinya, semasa puncak covid 19 menular hampir ke seluruh dunia,
China di himesfera utara sedang mengalami musim sejuk, manakala Australia di
himesfera selatan mengalami musim panas pada Disember-Febuari.
9) Adapun ‘ahah yang
merujuk kepada manusia boleh ditemukan dalam beberapa hadith seperti
“Sesungguhnya apabila Allah ta’ala menurunkan ‘ahah (penyakit) dari langit
kepada penduduk bumi maka Allah menjauhkan penyakit itu dari orang-orang yang
meramaikan masjid”. (HR. Ibnu Asakir dan Ibnu Adi). Atau: “Apabila Allah
menghendaki ‘ahah (penyakit) pada suatu kaum, maka Allah melihat ahli masjid,
lalu menjauhkan penyakit itu dari mereka.” (HR. Ibnu Adi, al-Dailami, dan
al-Daraquthni) tetapi hadith-hadith berikut adalah dhaif.
*Adapun hadith berikut:
مَا طَلَعَ
النَّجْمُ غَدَاةً قَطُّ وَبِقَوْمٍ أَوْ بِقَرْيَةٍ عَاهَةٌ ، إِلا خَفَّتْ أَوِ
ارْتَفَعَتْ عَنْهُمْ " ، فَقُلْتُ : عَمَّنْ هَذَا يَا أَبَا مُحَمَّدٍ ؟ ،
قَالَ : عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ
Tidaklah terbit bintang dipagi hari sama sekali sedangkan suatu kaum
atau sebuah kampung ditimpa penyakit (wabak), kecuali pasti wabak itu
diringankan atau diangkat dari mereka.” Maka aku (‘Isl) bertanya: Dari siapakah
ini wahai Aba Muhammad (‘Atha)? Dia menjawab: “Dari Abu Hurairah dari
Rasulullah saw.
Takhrij
Hadith ini diriwayatkan oleh Ibnu Thahman dalam Masyaikhahnya 1/228 no. 196 daripada Abu Hurairah ra.
Hadith ini juga dinukilkan dalam banyak riwayat dengan lafaz yang
sedikit berbeza-beza seperti:
1) إِذَا طَلَعَ
النَّجْمُ ذَا صَبَاحٍ رُفِعَتْ الْعَاهَة
2) إِذَا
ارْتَفَعَ النَّجْمُ رُفِعَتِ الْعَاهَةُ عَنْ أَهْلِ كُلِّ بَلَدٍ
3) ما طلَع
النجمُ صباحًا قَطُّ، وبقومٍ عاهةٌ، إلا رُفِعَتْ عنهم، أو خَفَّتْ
Yang mana ditemukan dalam riwayat at-Thabarani dalam Mu’jam al-Awsath
no. 1327, al-Bazzar dalam Kasyaf no. 1292, Uqaili dalam Dhuafa’ al-Kabir 3/426,
Abu Syaikh dalam al-‘Azhamah no. 695, Imam Ahmad dalam Musnadnya no. 9039, Imam
Abu Hanifah dalam Musnadnya hal.137-138 dan banyak lagi.
Hadith ini diperselisihkan oleh para ulama tentang kesahihahnya, kerana
datang dari sanad yang lemah, iaitu melalu jalur عِسْلُ بْنُ سُفْيَانَ
dari ‘Atha bin Abi Rabah dari Abu Hurairah ra.
Hadith ini juga telah datang dari pelbagai jalan-jalan yang lain namun
semuanya juga melalui jalur ‘Isl bin Sufyan dari ‘Atha, kecuali satu jalur
melalui jalur Imam Abu Hanifah dari ‘Atha (Syarah Musykil al-Atsar no. 2282).
Abu Hanifah pula diperselisihkan oleh para ahli hadith, namun majoriti menilai
beliau lemah dalam periwayatan walapun cemerlang dalam fiqh (Anis as-Sari
2/408).
‘Isl bin Sufyan adalah perawi yang lemah (Tahdzib At-Tahdzib no. 370 dan
Taqrib at-Tahdzib no. 4578).
Hadith ini didhaifkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani (Anis as-Sari
2/407-408) dan Syeikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Dhaif no. 397.
Namun ada sebahagian ulama seperti Syeikh al-Arnauth menilai hadith ini
hasan, kerana kedua jalur di atas (jalur ‘Isl bin Sufyan dan jalur Abu Hanifah)
saling menguatkan, sehingga naiklah taraf hadith ini dari dhaif menjadi hasan
li ghairihi, terlebih lagi dikuatkan dengan syahid dari hadith Ibnu Umar.
Beliau berkata :
نَهَى رَسُولُ
اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الثِّمَارِ حَتَّى تَذْهَبَ
الْعَاهَةُ “، قُلْتُ: أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَمَا تَذْهَبُ الْعَاهَةُ، مَا
الْعَاهَةُ؟ قَالَ: ” طُلُوعُ الثُّرَيَّا “
Rasulullah shallallahu alaihi wasallam melarang menjual buah-buahan
hingga hilang penyakitnya”. Aku (iaitu Utsman bin Abdillah bin Suraqah, perawi
dari Ibnu Umar) berkata, “Wahai Ibnu Umar, apa itu perginya penyakit, apakah
itu penyakit?”. Ibnu Umar berkata, “Terbitnya bintang Tsurayya” (HR Ahmad no.
4859, sanad sahih)
Untuk mengelakkan salah faham pada tafsiran hadith tersebut, maka
perlulah merujuk kepada hadith-hadith sahih yang lain dari bab yang sama (bab
musim panas, musim yang selamat bagi menuai tanaman dengan kualiti yang baik)
seperti tertera pada hadith Ibnu Umar (HR. Muslim no. 1535), Zaid Bin Tsabit
(HR. Bukhari no. 2193, muallaq) dan Aisyah (HR. Ahmad no. 24407).
**Adapun fiqh hadith ini membicarakan dalam konteks penyakit pada
tumbuhan dan jual beli tumbuhan dalam keadaan yang baik berkualiti.
Yang membuktikan pernyataan ini adalah :
1. Riwayat dari jalur Abu Hanifah dengan lafaz :
رُفِعَتِ
الْعَاهَةُ عَنِ الثِّمَارِ
“…diangkat penyakit dari buah-buahan” (sebagaimana disebutkan oleh Ibnu
Hajar di Fathul Baari 4/395)
2. Inilah yang difahami
para sahabat, diantaranya adalah Ibnu Umar (sebagaimana hadith di atas).
Demikian juga Zaid bin Tsabit radhiallahu ánhu,
أَنَّهُ كَانَ
لاَ يَبِيعُ ثِمَارَهُ، حَتَّى تَطْلُعَ الثُّرَيَّا
“Bahawasanya beliau (Zaid bin Tsabit) tidaklah menjual buah-buahan
beliau hingga terbit bintang Tsurayya” (HR. Malik dalam Muwattha no. 1130,
Bukhari no. 2193 dengan sanad yang sahih)
3. Inilah yang dipahami
oleh seluruh ulama apabila menyebutkan hadith ini dalam kitab-kitab mereka:-
a) Abu Ja’far At-Thahawi
(w 321 H), beliau membawakan hadith ini setelah itu beliau menyebutkan atsar
Ibnu Umar di atas, lalu beliau berkata:
أَنَّ الْمَقْصُودَ
بِرَفْعِ الْعَاهَةِ عَنْهُ هُوَ ثِمَارُ النَّخْلِ
“Bahawasanya yang dimaksudkan dengan diangkatnya penyakit darinya adalah
dari buah-buahan kurma” (Syarh Musykil al-Aatsaar 6/54)
b) Ibnu ‘Abdil Barr (w
463 H) beliau bawakan dalam pembahasan penjualan buah-buahan yang terlarang
(al-Istidzkar 6/305)
c) Ibnu Rusyd (w 595 H)
beliau membawakan hadith ini pada perbahasan jual beli yang terlarang iaitu
pada perbahasan larangan menjual buah-buahan sebelum nampak kematangannya
(Bidaytul Mujtahid 3/170)
d) Ibnul Mulaqqin (w 804
H) Begitu juga perbahasan yang sama (at-Taudhih 14/488)
e) Ibnu Hajar (w 852 H).
Beliau membawakan hadith yang sedang kita bahas ini pada perbahasan bab : بَيْعِ
الثِّمَارِ قَبْلَ أَنْ يَبْدُوَ صَلَاحُهَا
“Hukum menjual buah-buahan sebelum nampak matangnya” (Fathul Bari
4/395),
Beliau juga berkata:
وَطُلُوعُهَا
صَبَاحًا يَقَعُ فِي أَوَّلِ فَصْلِ الصَّيْفِ وَذَلِكَ عِنْدَ اشْتِدَادِ
الْحَرِّ فِي بِلَادِ الْحِجَازِ وَابْتِدَاءِ نُضْجِ الثِّمَارِ فَالْمُعْتَبَرُ
فِي الْحَقِيقَةِ النُّضْجُ وَطُلُوعُ النَّجْمِ عَلَامَةٌ لَهُ
Yang dimaksudkan dengan munculnya bintang di pagi hari adalah di awal
musim panas, iaitu ketika puncaknya panas di daerah-daerah Hijaz (Mekah, Thaif,
Madinah, dan kota-kota sekitarnya) dan permulaan matangnya buah-buahan. Dan
inilah (mulai matangnya buah-buahan) yang menjadi sandaran sesungguhnya, dan
terbitnya bintang Tsurayya hanyalah tanda saja” (Fathul Baari 4/395)
* Adapun pernyataan Ahmad Al-Banna As-Saati (w 1378)
العاهة تشمل
المرض والوباء فى النفس أو المال أى رفعت نهائيا أو أخذت فى النقص والانحطاط (قال
العلماء) ومدة مغيبها نيف وخمسون ليلة لانها تخفى لقربها من الشمس قبلها وبعدها
فإذا بعدت عنها ظهرت فى الشرق وقت الصبح، قيل أراد بهذا الخير أرض الحجاز لأن
الحصاد يقع بها فى أيار وتدرك الثمار وتأمن من العاهة فالمراد عاهة الثمار خاصة
“العاهة al-Áahah (penyakit) mencakupi
penyakit dan wabak baik pada nyawa mahupun harta, iaitu akan diangkat secara
sempurna atau mulai berkurang. Para ulama berkata, dan waktu tenggelamnya bintang
tersebut adalah lebih kurang 50 hari, kerana bintang tersebut meredup
disebabkan dekat dengan matahari sebelum atau sesudahnya. Dan jika dia jauh
dari matahari maka akan muncul di timur di waktu pagi. Dikatakan Nabi saw
memberitahu dari hadith tersebut adalah daerah Hijaz, kerana tanaman terjadi
pada waktu Ayar, dan buah-buahan sudah matang dan selamat dari penyakit. Maka
yang dimaksudkan adalah penyakit buah-buahan saja” (al-Fath ar-Rabani 13/20-21)
Pernyataan as-Saati sangat jelas, beliau menegaskan maksud ‘Aahah itu
adalah penyakit khusus yang berkaitan dengan buah-buahan apabila difahami
dengan konteks hadith tersebut.
Kesimpulan
Hadith-hadith yang ditularkan dengan kaedah “cocoklogi” kepada covid 19
adalah sesuatu yang salah dari sudut disiplin ilmu sains dan agama.
Hadith tersebut perlulah diaplikasikan dengan mengikut konteks dan
lokaliti tempat masing-masing.
Oleh itu janganlah kita menyebarkan hadith tersebut dengan
mengkaitkannya dengan covid 19, ini kerana, hal ini boleh menjerumuskan kita
kepada pendustaan terhadap Nabi saw, kerana jika covid 19 pada bulan Mei masih
belum hilang maka hadith ini adalah tidak benar, dan bererti Nabi saw telah
berdusta. Wal iyadzubillah.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment