Thursday, 7 May 2020

Saat kegembiraan bagi orang yang berpuasa



Matan hadith

للصائم فرحتان : فرحة عند فطره و فرحة عند لقاء ربه

 Terjemahan

“Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagiaan: kebahagiaan ketika berbuka puasa dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Rabb-Nya kelak.”



Takhrij

HR. Muslim no. 1151, Tirmidzi no. 696, daripada Abu Hurairah ra.



Penjelasan

Para ulama’ telah memberi syarahan terhadap maksud dua kegembiraan tersebut.


Pertama , kegembiraan ketika berbuka puasa ialah kerana tabiat dan fitrah manusia cenderung kepada perkara syahwat daripada makan, minum, jima’ dan sebagainya. Justeru, apabila ia dilarang pada sesuatu masa kemudian ia dibolehkan semula selepas daripada itu, maka ia akan menimbulkan kegembiraan apabila dia boleh kembali melakukannya. Khususnya bagi orang yang sangat merasa kesusahan dan kekangan dalam menjalani ibadah puasa tersebut. (Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 215)


Kedua , kegembiraan ketika bertemu Tuhannya pula bermaksud, ganjaran balasan kebaikan yang diperolehnya daripada ibadah puasa yang dilaksanakan ketika dia bertemu Allah SWT di akhirat kelak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّـهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ۚ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Muzammil: 20)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا

Maksudnya: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia dibentangkan (kepadanya dalam surat-surat amalnya). (Surah Ali Imran: 30)

Justeru, apabila orang yang telah berpuasa tersebut melihat ganjaran yang bakal diperolehinya daripada Allah SWT, maka dia merasa gembira dengan puasa yang telah dilaksanakannya itu dengan sebaiknya. (Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 216-217).



Rujukan

Irsyad al-Fatwa khas Ramadhan no. 146.


No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...