Monday, 7 September 2020

Meninggal malam dan hari Jumaat



Matan hadith

مَن ماتَ يومَ الجُمعةِ أو ليلةَ الجمعةِ وُقِيَ فِتنةَ القبرِ

Terjemahan

Tidaklah seorang muslim meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya dari siksa kubur


Takhrij

HR. Tirmidzi no. 1074, Ahmad no. 6646, at-Thabarani dalam Mu’jam al-Awsath no. 3107, Ibnu Asakir dalam Ta’ziah Muslim hal. 108, Abdurrazzaq dalam Musannafnya no. 5596, Baihaqi dalam Isbat Azab Kubur hal. 156, daripada Abdullah bin Amru ra.

Para ulama berselisih tentang status hadith ini. Imam Tirmidzi menyifatinya sebagai hadith gharib dan terputus sandanya. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata sanadnya dhaif dalam Fathul bari 3/297. Sementara Syeikh al-Albani dalam Ahkam Janaiz-nya (hal. 49-50) menyatakan, hadith tersebut hasan atau sahih dengan dikumpulkan semua jalurnya.

Hadith ini menurut Imam Thabarani sanadnya bersambung (al-Mu’jamul Kabir 20/145).

Sanadnya juga didhaifkan oleh Syeikh al-Arnauth dan syeikh Ahmad Syakir dalam takhrij Musnad.

Abu Nu’aim juga meriwayatkannya dari Jabir dengan status muttashil. Meski bersambung sanadnya, menurut al-Hafiz al-Mundziri, hadith tersebut tergolong dhaif dalam Faidhul Qadir 5/637).


من مات يوم الجمعة أو ليلة الجمعة أجير من عذاب القبر وجاء يوم القيامة وعليه طابع الشهداء

Barangsiapa yang mati di hari Jumaat atau malam Jumaat maka dia diselamatkan dari siksa kubur, dan pada hari kiamat dia dicop (sebagai bagian dari) orang-orang yang mati syahid (HR. Abu Nua’im dalam Hilyatul Auliya 3/181, daripada Jabir bin Abdillah ra. Didhaifkan oleh Ibnu Qayyim dalam al-Ruh1/351).

Menurut al-Mizzi 6/158 dalam Tahzibut Kamal, kedhaifan hadith ini berpunca dari perawi (Rabiah bin Saif) yang dilemahkan oleh Imam Bukhari (Tarikh Kabir 3/290) kerana banyak meriwayatkan hadith munkar, dan ad-Daruquthni pula ia tidak apa-apa dan Ibnu Hibban berkata dalam at-Tsiqah bahawa beliau banyak salah.

Al-Mubarakfuri dalam Syarah Sunan Tirmidzi menilai hadith ini  dhaif kerana keterputusan sanad dan mempunyai syawahid. Beliau menjelaskan makna fitnah kubur pada hadith di atas, “Maksudnya: siksanya dan pertanyaannya. Dan itu mengandungi makna mutlak dan taqyid. Dan makna pertama lebih tepat dengan disandarkan kepada kurnia Allah.” (Tuhfah al-Ahwadzi 4/160).

Dalam Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, Syekh Ibnu Hajar Al-Haitami berkata, "Merupakan ketetapan bahawa hadith dhaif, mursal, munqathi', mu'dlal, dan mauquf dapat dipakai untuk keutamaan amal menurut jumhur ulama.”


Jalur riwayat lain:-

Dari Anas ra:-

حدثنا أبو معمر إسماعيل بن إبراهيم حدثنا عبد الله بن جعفر عن واقد بن سلامة عن يزيد الرقاشي عن أنس قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : من مات يوم الجمعة وقي عذاب القبر

Telah mengkhabarkan Abu Ma’mar Ismail bin Ibrahim, Abdullah bin Ja’far dari Waqid bin Salamah dari Yazid al-Ruqasy dari Anas, bersabda Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam, “Siapa saja yang meninggal pada hari jumaat maka ia diselamatkan dari azab kubur.” (HR. Abu Ya’la dalam Musnad Abi Ya’la 7/146 no. 4113, sanadnya dhaif jiddan kerana kedhaifan perawi bernama  Yazid bin Abban ar-Ruqasy menurut al-Uqaili dalam Kamil fi-Dhuafa’ 7/92).






No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...