Friday, 8 January 2021

Hadith kelebihan memotong kuku pada hari-hari tertentu

 

Matan hadith

 

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم عَن قَلَّمَ أَظْفَارَهُ يَوْمَ السَّبْتِ خَرَجَ مِنْهُ الدَّاءُ وَدَخَلَ فِيْهِ الشِّفَاءُ وَمَنْ قَلَّمَ أَظْفَارَهُ يَوْمَ الْأَحَدِ خَرَجَتْ مِنْهُ الْفَاقَةُ وَدَخَلَ فِيْهِ الْغِنَاءُ وَمَنْ قَلَّمَ أَظْفَارَهُ يَوْمَ الاثْنَيْنِ خَرَجَتْ مِنْهُ الْعِلَّةُ وَدَخَلَتْ فِيْهِ الصِّحَّةُ وَمَنْ قَلَّمَ أَظْفَارَهُ يَوْمَ الثُّلَاثَاءِ خَرَجَ مِنْهُ الْبَرَصُ وَدَخَلَتْ فِيْهِ الْعَافِيَةُ وَمَنْ قَلَّمَ أَظْفَارَهُ يَوْمَ الأَرْبَعَاءِ خَرَجَ مِنْهُ الْوِسْوَاسُ وَالْخَوْفُ وَدَخَلَ فِيْهِ الْأَمْنُ وَالصِّحَّةُ وَمَنْ قَلَّمَ أَظْفَارَهُ الْخَمِيْسِ خَرَجَ مِنْهُ الْجُذَامُ وَدَخَلَ فِيْهِ الْعَافِيَةُ وَمَنْ قَلَّمَ أَظْفَارَهُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ دَخَلَتْ فِيْهِ الرَّحْمَةُ وَخَرَجَ مِنْهُ الذُّنُوْبُ.

 

Terjemahan

 

Dari Abu Hurairah, bahwasanya Rasulullah Shallallahu'alaihi Wasallam bersabda; Barang siapa memotong kukunya pada hari Sabtu, maka akan keluar darinya penyakit dan masuk ke dalamnya penawar. Barang siapa memotong kukunya pada hari Ahad, maka akan keluar darinya kemiskinan dan masuk ke dalamnya kekayaan. Barang siapa memotong kukunya pada hari Isnin, maka akan keluar darinya kecacatan dan masuk ke dalamnya kesihatan. Barang siapa memotong kukunya pada hari Selasa, maka akan keluar darinya penyakit sopak dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Barang siapa memotong kukunya pada hari Rabu, akan keluar darinya penyakit was was dan ketakutan, dan akan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan. Barang siapa memotong kukunya pada hari Khamis, akan keluar darinya penyakit kusta dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Barang siapa memotong kukunya pada hari Jumaat maka, akan masuk ke dalamnya rahmat dan keluar darinya dosa-dosa.

 

Takhrij

 

HN. Ibnu Jauzi dalam al-Maudhuat 3/53. Beliau menilai hadith ini palsu.

 

As-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmuah no. 197 menilai hadith ini palsu, sanadnya dusta, terdapat perawi yang dhaif dan majhul.

 

Hadith ini juga dimasukkan ulama dalam kitab himpunan hadith-hadith lemah dan palsu mereka seperti Ibn al-Maqdisi dalam Tazkirah Maudhuat no. 160, az-Zahabi dalam Tartib Maudhuat no. 816, Ibnu Irraqi al-Kinani dalam Tanzih Syariah 2/269, al-Ajluni dalam Kasyaful Khafa’ no. 3255, as-Suyuthi dalam  al-Ali al-Masnuah Fil Ahadith al-Maudhuah 2/267-268.

 

 

Memotong kuku pada hari Jumaat

 

كان يقلم أظافره ويقص شاربه يوم الجمعة قبل أن يخرج إلى الصلاة

 

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam terbiasa memotong kuku dan kumis beliau pada hari Jumaat, sebelum berangkat solat Jumaat

 

من قلم أظافره يوم الجمعة وقي من السوء إلى مثلها

 

Barang siapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka dia dilindungi dari keburukan semisalnya

 

Kedua-dua hadith tersebut dinilai dhaif oleh  Syeikh al-Albani. Hadith pertama beliau nyatakan statusnya dhaif dan hadith kedua beliau nilai sebagai hadith palsu. (Mukhtasar Silsilah Haidth Dhaif no. 112 dan no. 1816)

 

Berdasarkan keterangan di atas, para ulama menyimpulkan, tidak ada anjuran dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam untuk memotong kuku di hari Jumaat

 

Imam al-Sakhawi menjelaskan: “Tidak ada satu pun hadith yang sahih daripada Nabi SAW yang menerangkan tentang tatacara dan penetapan hari-hari tertentu untuk memotong kuku.” (al-Maqasid al-Hasanah hal. 489)

 

Walaupun begitu, terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat. Antaranya:

 

a)       Ibnu Umar R.Anhuma biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Sunan Al-Kubra al-Baihaqi, 3/244)

b)      Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan, “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.” (LMusannaf Ibn Abi Syaibah, 2/65)

c)       Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi’in) berkata, “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Musannaf Abd al-Razzaq, 3/197)

 

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, para ulama fiqh dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, menyebut galakan dan anjuran memotong kuku pada setiap hari Jumaat. Imam Nawawi berkata: “Al-Syafi’e dan ashabnya dengan tegas (secara nas) menyebut anjuran memotong kuku pada hari Jumaat.” (al-Majmu’, 1/340)

 

Al-Hafiz Ibnu Hajar pernah memberikan keterangan, “Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya tentang memotong kuku. Beliau menjawab, ‘Dianjurkan untuk dilakukan di hari Jumaat, sebelum matahari tergelincir.’ Beliau juga mengatakan, ‘Dianjurkan di hari khamis.’ Beliau juga mengatakan, ‘Orang boleh milih waktu untuk memotong kuku.'” Setelah membawakan pendapat Imam Ahmad, kemudian Al-Hafiz memberikan komentar, “(Pendapat terakhir) adalah pendapat yang dijadikan pegangan, bahawa memotong kuku itu disesuaikan dengan keperluan.” (Tuhfat al-Ahwadzi Syarah Sunan Tirmidzi 8/33)

 

 

Rujukan

 

Fatwa Syabakah Islamiyah no. 128082

 

Al-Kafi li al-Fatawi no. 1238

 


No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...