Matan hadith
لَمَّا كَانَ لَيْلَةَ وُلِدَ فِيهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلِّي اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ارْتَجَسَ إِيوَانُ كِسْرَى وَسَقَطَتْ مِنْهُ أَرْبَعَ
عَشْرَةَ شُرَّافَةً، وَخَمَدَتْ نَارُ فَارِسَ وَلَمْ تَخْمَدْ قَبْلَ ذَلِكَ
بِأَلْفِ عَامٍ، وَغَاضَتْ بُحَيْرَةُ سَاوَةَ، وَرَأَى الْمُوبَذَانُ إِبِلًا
صِعَابًا تَقُودُ خَيْلًا عِرَابًا قَدْ قَطَعَتْ دِجْلَةَ وَانْتَشَرَتْ فِي
بِلَادِهِ
Terjemahan
Pada malam kelahiran Nabi
Muhammad SAW, istana maharaja Parsi
roboh, 14 tiang utama di istana Parsi runtuh, terpadam api sembahan Majusi yang
kekal menyala selama 1000 tahun, air tasik Sawah menjadi kering, mimpi aneh
al-Mubizan, ahli nujum kerajaan Parsi melihat unta-unta menyeberangi Sungai
Dijlah dan bertebaran di negara Parsi.
Takhrij
Kisah ini diriwayatkan oleh Ibn
Jarir al-Tabari dalamTarikh al-Tabari 1/459, al-Khara’iti dalam Hawatif al-Jan
hal. 56, Abu Nu’aim dalam Dalail al-Nubuwwah no. 82, al-Baihaqi dalam Dalail
al-Nubuwwah 1/126), Abu al-Qasim al-Asbahani (Dalail al-Nubuwwah hal. 147) dan
Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq 37/361.
Ibnu Asakir menilai kisah ini
ganjil dalam Tarikh Dimasyq 72/221.
az-Zahabi menilai hadith ini
gharib lagi munkar dalam Tarikh al-Islam 1/491.
Ibnu Hajar al-Asqalani menilai
riwayat ini mursal dalam al-Khasais al-Kubra hal. 89.
Al-Sheikh Muhammad Khalil Harras
menilai sanad hadith ini gelap, kesemua perawinya tidak dikenali dalam Tahqiq
al-Khasais al-Kubra hal. 127.
Al-Sheikh Muhammad al-Ghazali
menegaskan bahawa riwayat tentang irhashat semasa kelahiran Nabi SAW adalah
rekaan semata-mata, dan Nabi Muhammad SAW tidak memerlukan keajaiban seperti
itu. (Fiqh al-Sirah hal. 62).
Dr. Akram Diya’ al-‘Umari
menegaskan bahawa kisah tentang peristiwa-peristiwa berkenaan adalah palsu.
(al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah 1/100).
Terdapat banyak riwayat yang
menceritakan tentang keadaan lahirnya Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam, namun
sebahagiannya adalah riwayat-riwayat yang lemah. Diantaranya :
a) Riwayat yang
menceritakan bahawasanya beliau dilahirkan dalam keadaan tangannya seperti
duduk bersandar dan matanya melihat ke atas langit, keadaan yang tidak wajar
seperti bayi biasanya. Riwayat seperti ini lemah, tidak boleh dijadikan
sandaran.
b) Riwayat yang
menceritakan bahawasanya ketika beliau dilahirkan kemudian diletakkan di atas
periuk diperbuat daripada batu (Burmah) maka tiba-tiba batu itu pecah agar Nabi
tetap melihat ke atas. (HR. Abu Nua'im dalam Dalail Nubuwah 1/172). Hadith ini
adalah hadith Muʿḍal kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abdullah
bin Shalih yang merupakan seorang yang jujur tetapi banyak melakukan kesilapan.
c) Riwayat yang
menceritakan bahawasanya ibunya tatkala melahirkannya tiba-tiba azimat-aziimat
yang dipakainya yang terbuat dari besi menjadi terpotong-potong.
d) Riwayat yang
menceritakan bahawasanya ibunya melihat dalam mimpinya ada yang menyuruhnya
agar menamai anaknya dengan Muhammad, (HR. Abu Nua'im dalam Dalail Nubuwah no.
78), sanadnya wahi jiddan menurut Muhammad bin Yusuf
al-Syami di dalam Subul al-Huda wa al-Rasyad.
e) Riwayat yang
menceritakan bahawasanya tatkala Nabi dilahirkan maka bergetarlah istana raja
Persia.
f)
Riwayat yang menceritakan bahawasanya tatkala Nabi
dilahirkan api yang disembah oleh kaum Majusi padam.
g) Riwayat yang
menceritakan bahawasanya Nabi shallallāhu ‘alayhi wa sallam dilahirkan dalam
keadaan sudah tersunat (HR. at-Thabarani dalam Mu'jam al-Awsath no. 6148.
Riwayat ini berasal hadith yang lemah (dhaif jiddan), dan tidak mampu dijadikan
dalil. Ada pula riwayat lain bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa
sallam lahir kemudian pada hari ke-7 datuknya Abdul Mutallib menyunat beliau.
Riwayat ini pun juga lemah, hanya saja sanadnya lebih baik daripada riwayat
tentang Nabi lahir dalam keadaan sudah tersunat. (As-Sirah An-Nabawiyah
As-Shahihah 1/100).
h) Riwayat yang
menceritakan Aminah tidak merasa dirinya mengandung. Kisah ini juga teramat
dhaif kerana terdapat perawi yang teramat dhaif, al-Waqidi. Imam Bukhari
berkata hadithnya tidak diambil, az-Zahabi berkata hadithnya disepakati ulama
untuk ditinggalkan. (Thabaqat al-Kubra 1/78-79).
i)
Riwayat yang menceritakan bahawasanya Nabi shallallahu
‘alayhi wa sallam dilahirkan dalam keadaan bersujud (Thabaqat al-Kubra 1/103).
Dr. Akram Dhiya` menyatakan, sanadnya dhaif. Sebahagian hadith lain nampak cuba
menguatkannya tetapi ia tidak dapat kerana ia mengandungi riwayat-riwayat
al-Waqidi. Al-Waqidi itu matruk (ditinggalkan hadithnya).
j)
Riwayat yang menceritakan terdapat suara-suara bisikan
jin pada malam kelahiran Nabi saw serta menyatakan gembira tentangnya. Serta
hancurnya berhala-berhala Mekah. Di dalam sanad kisah ini terdapat 2 perawi
pendusta, iaitu Abdullah bin Muhammad al-Balwi dan Imarah bin Zaid.
Rujukan
https://firanda.com/1825-sirah-nabi-12-beberapa-hal-tentang-kelahiran-nabi.html
https://www.ustazusa.com/2016/12/kisah-kelahiran-nabi-muhammad-antara.html
No comments:
Post a Comment