Thursday 29 July 2021

Hadith-hadith kelebihan ulama

 

Ampunan Dosa Kerana Memandang Ulama

 

وقال صلى الله عليه وسلم: من نظر إلى وجه العالم نظرة ففرح بها خلق الله تعالى من تلك النظرة ملكا يستغفر له إلى يوم القيامة

 

Nabi bersabda: “Barangsiapa memandang wajah orang alim dengan pandangan yang menyenangkan maka Allah akan menciptakan malaikat dari pandangan tersebut yang akan memohonkan ampunan kepada orang tersebut di hari kiamat.”

 

Takhrij

 

HR. Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq 49/366, daripada Abu Sa’id al-Khudri ra.

 

Sanadnya dhaif, terdapat perawi yang majhul antaranya Qaid bin Bisr.

 

Ibnu Iraq al-Kinani dalam Tanzih Syariah 1/281 mendhaifkan hadith ini.

 

Hadith penguat dalam bab ini kesemuanya dhaif dari al-Azraq ra sanadnya kelam menurut az-Zahabi dalam Mizan al-‘Itidal 3/681, dari Anas ra, palsu menurut Mulla Ali Qari dalam al-Asrar al-Marfuah no. 356, dari Abu Hurairah ra, dhaif jiddan menurut Syeikh al-Albani dalam Dhaif Jami’ no. 2855.

 

 

Memuliakan Ulama, Syurga Imbalannya

 

وقال النبي صلى الله عليه وسلم: من أكرم عالما فقد أكرمني، ومن أكرمني فقد أكرم الله، ومن أكرم الله فمأواه الجنة

 

Nabi bersabda: “Barangsiapa memuliakan orang alim, bererti ia telah memuliakan aku. Barangsiapa memuliakan aku, bererti memuliakan Allah. Barang siapa memuliakan Allah, maka tempat kembalinya adalah syurga.”

 

Takhrij

 

Tidak ditemukan hadith ini dalam kitab hadith muktabar Sunnah. Ia ditemukan dalam kitab hadith Syiah seperti Jami’ al-Akhbar 1/38 karangan Muhammad al-Syai’iri, daripada Abu Hurairah ra.

 

Ibnu Iraq al-Kinani dalam Tanzih Syariah 1/318 mendhaifkan hadith ini.

 

 

 

Keutamaan Tidurnya Ulama

 

وقال النبي صلى الله عليه وسلم: نَوْمُ العَالِمِ أَفْضَلُ مِنْ عِبَادَةِ الجَاهِلِ

 

Nabi bersabda: “Tidurnya orang ‘alim adalah lebih utama dari pada ibadahnya orang bodoh.”

 

Takhrij

 

Tidak ditemukan hadith ini dalam kitab hadith muktabar Sunnah. Ia ditemukan dalam kitab hadith Syiah seperti Man la Yahduruhu al-Faqih 4/352-367 karangan Syeikh as-Shaduq, Makaraim al-Akhlaq  oleh al-Tabrizi hal. 441, Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi 2/25, daripada Ali ra.

 

Hadith ini jelas kepalsuannya, perawinya tidak dikenali sama ada dari kitab rijal Sunnah mahupun Syiah. Mulla Ali al-Qari mengatakan, tidak ada satupun hadith marfu’ berkenaan bab ini. (al-Asrar al-Marfuah fil Akhbar al-Maudhuah hal. 374.

 

 

 

Belajar Satu Bab Lebih Utama

 

وقال النبي صلى الله عليه وسلم: مَنْ تَعَلَّمَ بَابًا مِنَ العِلْمِ، يَعْمَلُ بهِ أوْ لَمْ يَعْمَلْ بهِ كَانَ أَفْضَلَ مِنْ أَنْ يُصَلِّي أَلْفَ رَكْعَةٍ تَطَوُّعًا

 

Nabi bersabda: “Barang siapa belajar ilmu satu bab, diamalkan atau tidak, adalah lebih utama dari pada solat sunnat 1000 (seribu) rakaat.”

 

Takhrij

 

HR. Ad-Dailami dalam Musnad Firdaus 1/190 daripada Ibnu Umar ra. dan al-Khatib dalam Tarikh Baghdad 6/50, Kanzul Ummal no. 28743 daripada Ibnu Abbas ra. Juga hadith ini banyak ditemukan dari sumber syiah, seperti Misykatul Anwar no. 136, Bihar al-Anwar 1/180 dll.

 

Syeikh al-Albani menilai riwayat dari Ibnu Umar munkar dalam Silsilah hadith Dhaif no. 3139,  dan dari Ibnu Abbas palsu dalam Silsilah Hadith Dhaif no. 6803

 

 

Keutamaan Berkunjung Kepada Orang ‘Alim

 

وقال النبي صلى الله عليه وسلم: مَنْ زَارَ عَالِمًا فَكَأَنَمَّا زَارَنِي، وَمَنْ صَافَحَ عَالِمًا فَكَأَنَّما صَافَحَنِي، وَمَنْ جَالَسَ عَالِمًا فَكَأَنَّما جَالَسَنِي في الدُّنْيَا، وَمَنْ جَالَسَنِي في الدُّنْيَا أَجْلَسْتُهُ مَعِيْ يَوْمَ القِيَامَةِ

 

Nabi bersabda: “Barang siapa mengunjungi orang alim, maka seolah-olah ia mengunjungiku. Barang siapa berjabat tangan dengan orang alim, maka seolah-olah ia berjabat tangan denganku. Barang siapa duduk berdampingan dengan orang alim, maka seolah-olah ia duduk berdampingan dengan denganku di dunia. Barang siapa duduk berdampingan denganku di dunia, maka ia akan duduk berdampingan denganku di hari kiamat.”

 

Takhrij

 

HR. al-Sahmi dalam Tarikh Jurjan, Abu Nu'aim dalam Tarikh Asbahan 2/364 dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada Ibnu 'Abbas ra.

 

Hadith ini dinilai sebagai palsu oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah 1/159 no. 172,  Ibnu 'Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah 1/272, Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Masnu' no. 335 dan al-Asrar al-Marfu'ah no. 490, al-Qawuqji dalam al-Lu'lu' al-Marsu' no. 568 dan Syeikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Dhaif no. 3333.

 

Rujukan

 

Fatwa Soljawab Islam no. 171514, 16067

 

Fatwa Syabakah Islamiyah no. 279550

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...