Sunday, 11 July 2021

Kisah Imam Ahmad di masukkan ke dalam penjara bersama singa?

 

Tidak ditemui kisah yang menceritakan hal demikian

 

Yang ada ditemukan adalah dua kisah:

 

a)       Kisah Bunan al-Hammal masuk dalam kandang singa

b)      Masuk kandang singa sebagai pembuktian anak cucu Fatimah ra

 

Kisah Bunan al-Hammal masuk dalam kandang singa

 

Kisah ini ditemukan dalam Risalatul Mustarsyidin karangan Imam Al-Harith bin Asad Al-Muhasibi Al-Basri hal. 98, Darussalam dan versi terjemahan hal. 72-73.

 

Siapakah beliau?

 

Beliau ialah Bunan bin Muhammad bin Hamdan bin Sai'd Al-Wasiti. Gelarannya ialah Abu Al-Hasan Az-Zahid. Dikenali dengan 'Al-Hammal'. Juga dianggap sebagai seorang Syeikhul Islam. Seorang yg alim besar dalam ilmu hadith, thiqah, zuhud dan kuat beribadat. Mencapai tahap 'Muhaddith'. Berasal dari Baghdad dan menetap di Mesir. Beliau mempunyai kedudukan yg tinggi di sisi orang ramai. Beliau tidak menerima sebarang habuan daripada sultan. Beliau juga bersahabat dengan Imam Junaid rahimahullah.

 

Bahkan Abu Ali Ar-Ruzabari berkata, "Sebab aku memasuki Mesir ialah kisah Bunan Al-Hammal." Beliau ke Mesir untuk melihat sendiri seorang soleh yg dicampakkan kepada singa untuk dibaham. Namun anehnya, si singa tidak mengapa-apakannya.

 

Bunan telah menyuruh Ibnu Tulun (pemerintah Mesir, mati tahun 270 H) agar melakukan perkara kebaikan. Maka, Ibnu Tulun murka kepadanya lalu memerintahkan agar beliau dicampakkan ke hadapan singa. Lantas si singa mendekatinya lalu menghidu-hidunya. Subhanallah. Si singa tidak mengapa-apakannya. Lalu, beliau dikeluarkan semula. Beliau ditanya, "Apakah perasaanmu ketika singa itu menghidu-hidumu?" Beliau menjawab, "Aku berfikir tentang khilaf ulama dalam masalah bekas minuman singa dan air liurnya... (adakah ia suci ataupun najis?)".

 

Takhrij

 

Biodata dan kisah ini disebutkan dalam kitab Hilyatul Auliya' 10/324, Tarikh Baghdad 7/101, Al-Muntazim karangan Imam Ibnul Jauzi 6/217.


Masuk kandang singa sebagai pembuktian anak cucu Fatimah ra

 

Kisah ini pula ditemukan dari sumber kitab Syiah, Bihar al-Anwar 35/50, 149 dan Muntaha al-Amal 2/654. Dan tidak ada nilai kisah ini di sisi ahli Sunnah wal jamaah kerana bersumberkan dari sumber Syiah.

 

Tersebutlah kisah, di zaman khalifah raja al-Mutawakkil Abbasi, seorang perempuan mendakwa dirinya adalah Zainab binti Ali. Lantas al-Mutawakkil pun bertanya kepadanya, "Engkau perempuan muda sedangkan sudah bertahun-tahun zaman Zainab berlalu pergi." Jawab perempuan itu, "Sesungguhnya Rasulullah telah mengusap kepalaku dan berdoa agar aku menjadi muda buat selama-lamanya. Setiap empat puluh tahun aku akan kembali muda."

 

Al-Mutawakkil memanggil para bijak pandai mengadapnya dan bertanya, "Apa yang kamu katakan tentang dakwaan perempuan ini?" Lantas mereka menjawab, "Dia berdusta."

 

Mereka berkata, "Tiada yang dapat khabarkan kepada tuanku melainkan anak cucu al-Ridha."

 

Al-Mutawakkil memerintahkan Imam Ali Naqi a.s. masuk mengadap dan memaklumkan kepada beliau masaelah tersebut. Maka beliau a.s. menjawab, "Sesungguhnya anak-anak Ali a.s. mempunyai tandanya."

 

Raja bertanya, "Apakah gerangan tandanya itu?"

 

Jawab beliau, "Mereka tidak mampan di hadapan haiwan buas. Masukkanlah perempuan itu ke dalam kandang haiwan buas, sekiranya tidak diterkam maka ia berbicara benar."

 

Perempuan tersebut berteriak, "Wahai Amirul Mukimin! Sesungguhnya beliau ingin aku mati terbunuh!"

 

Ada riwayat menyatakan perempuan itu dimasukkan ke dalam kandang dan haiwan buas memakannya. Terdapat pula riwayat yang menyatakan musuh-musuh Imam al-Hadi a.s. mengusulkan al-Mutawakkil memasukkan Imam ke dalam kandang singa.

 

Al-Mutawakkil berkata kepada Imam, "Boleh kah anda sendiri yang masuk ke dalam sangkar?" Maka Imam al-Hadi a.s. pun masuk ke dalam kandang yang dihuni enam ekor singa liar. Tatkala beliau berada dalam kandang tersebut, kesemua singa-singa itu tampil mengadap Imam a.s. dan berbaring. Imam mengusap mereka dengan tangannya dan setiap singa meminggir ke tepi.

 

Menteri al-Mutawakkil pun berkata, "Segeralah keluarkan beliau dari kandang, jika tidak maruah kita tercalar. Maka raja Abbasiyyah tersebut meminta Imam keluar dan beliau pun keluar."

 

Imam berkata, "Barangsiapa yang mengaku sebagai anak cucu Fathimah a.s, maka dia hendaklah masuk ke dalam. Al-Mutawakkil pun memerintahkan, "Masuklah!"

 

Perempuan tersebut berkata, "Aku berbohong! Bebaskan aku dari ujian ini." Maka bonda al-Mutawakkil pun memohon keampunan perempuan tersebut dan ia terlepas dari kematian

No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...