Monday, 15 November 2021

Riwayat atsar tanda sujud (dahi hitam) itu adalah riya’?

 

Riwayat-riwayat di bawah dikumpulkan oleh Imam al-Baihaqi dalam bab (سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ). Dimana Abdullah bin Umar ra. memperjelaskan pandangannya bahawa maksud bekas sujud dalam ayat di atas bukan tanda hitam di dahi, ertinya ini berkaitan pula dengan penafsiran atas ayat yang agung di bawah.

 

Puncanya orang menanggap tanda hitam itu dari bekas sujud semasa solat adalah ketika memaknai apa yang terkandung dalam ayat ini:-

 

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ

 

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan Dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. kamu Lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaanNya,  tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud  (QS al Fath: 29).

 

Banyak orang yang salah faham dengan maksud ayat ini. Ada yang mengira bahawa dahi yang hitam kerana sujud itulah yang dimaksudkan dengan ‘tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud’. Padahal bukanlah demikian yang dimaksudkan.

 

 

Tafsir Al-Qurthubi 16/291, disebutkan dalam tafsir tersebut bahawa Ibnu Abbas dan Mujahid menafsirkan kata atsarussujud (bekas sujud) sebagai : khusyu’ dan tawadlu’.

 

Tafsir Fathul Qadir 5/ 55  juga memaknai dengan erti yang sama.

 

Dalam Jami’ al-Bayan 26/14, at-Thabari mengutip perkataan Muqatil bin Hayyan dan Ali bin Mubarak dari al-Hasan bahawa yang dimaksudkan “min atsari sujud” disana adalah cahaya yang tampak pada wajah orang-orang beriman pada Hari Kiamat kelak sebagai bekas solat dan wudhunya. Bahkan di dalam Tafsirnya tersebut, Ibn Jarir juga mengutip perkataan sahabat Ibn Abbas yang menolak penafsiran ayat secara literal dengan kata-kata : “Hal itu bukanlah seperti yang kalian kira, kerana maksudnya (dari kalimat min atsari sujud) adalah tanda-tanda keislaman (ketundukan dan kepasarahan) serta kekhusyu’an.”

 

at-Thabari juga meriwayatkan dengan sanad  hasan dari Qatadah, beliau berkata, “Ciri mereka adalah solat” (Tafsir Mukhtashar Sahih hal. 546).

 

Demikian juga Allamah Thabathaba’i di dalam Tafsir al-Mizan 18/326, menafsirkan ayat tersebut dengan penafsiran maknawi bukan zahiri.

 

 

Atsar 1

 

عَنْ سَالِمٍ أَبِى النَّضْرِ قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى ابْنِ عُمَرَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ قَالَ : مَنْ أَنْتَ؟ قَالَ : أَنَا حَاضِنُكَ فُلاَنٌ. وَرَأَى بَيْنَ عَيْنَيْهِ سَجْدَةً سَوْدَاءَ فَقَالَ : مَا هَذَا الأَثَرُ بَيْنَ عَيْنَيْكَ؟ فَقَدْ صَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمْ فَهَلْ تَرَى هَا هُنَا مِنْ شَىْءٍ؟

 

Dari Salim Abu Nadhr, ada seorang yang datang menemui Ibnu Umar. Setelah orang tersebut mengucapkan salam, Ibnu Umar bertanya kepadanya, “Siapakah anda?”. “Aku adalah anak asuhanmu”, jawab orang tersebut. Ibnu Umar melihat ada bekas sujud yang berwarna hitam di antara kedua matanya. Beliau berkata kepadanya, “Bekas apa yang ada di antara kedua matamu? Sungguh aku telah lama bersahabat dengan Rasulullah, Abu Bakar, Umar dan Utsman. Apakah kau lihat ada bekas tersebut pada dahiku?” (AR. Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 3698, dhaif)

 

 

Atsar 2

 

عَنِ ابْنِ عُمَرَ : أَنَّهُ رَأَى أَثَرًا فَقَالَ : يَا عَبْدَ اللَّهِ إِنَّ صُورَةَ الرَّجُلِ وَجْهُهُ ، فَلاَ تَشِنْ صُورَتَكَ.

 

Dari Ibnu Umar, beliau melihat ada seorang yang pada dahinya terdapat bekas sujud. Ibnu Umar berkata, “Wahai hamba Allah, sesungguhnya penampilan seseorang itu terletak pada wajahnya. Janganlah kau burukkan penampilanmu!” (AR. Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 3699, dhaif).

 

 

Atsar 3

 

عَنْ أَبِى عَوْنٍ قَالَ : رَأَى أَبُو الدَّرْدَاءِ امْرَأَةً بِوَجْهِهَا أَثَرٌ مِثْلُ ثَفِنَةِ الْعَنْزِ ، فَقَالَ : لَوْ لَمْ يَكُنْ هَذَا بِوَجْهِكِ كَانَ خَيْرًا لَكِ.

 

Dari Abi Aun, Abu Darda’ melihat seorang perempuan yang pada wajahnya terdapat ‘kapal’ semisal ‘kapal’ yang ada pada seekor kambing. Beliau lantas berkata, ‘Seandainya bekas itu tidak ada pada dirimu tentu lebih baik” (AR. Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 3700, dhaif jiddan).

 

 

Atsar 4

 

عَنْ حُمَيْدٍ هُوَ ابْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ قَالَ : كُنَّا عِنْدَ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ إِذْ جَاءَهُ الزُّبَيْرُ بْنُ سُهَيْلِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ فَقَالَ : قَدْ أَفْسَدَ وَجْهَهُ ، وَاللَّهِ مَا هِىَ سِيمَاءُ ، وَاللَّهِ لَقَدْ صَلَّيْتُ عَلَى وَجْهِى مُذْ كَذَا وَكَذَا ، مَا أَثَّرَ السُّجُودُ فِى وَجْهِى شَيْئًا.

 

Dari Humaid bin Abdirrahman, aku berada di dekat as Saib bin Yazid ketika seorang yang bernama az Zubair bin Suhail bin Abdirrahman bin Auf datang. Melihat kedatangannya, as-Saib berkata, “Sungguh dia telah merosak wajahnya. Demi Allah bekas di dahi itu bukanlah bekas sujud. Demi Allah aku telah solat dengan menggunakan wajahku ini selama sekian waktu lamanya namun sujud tidaklah memberi bekas sedikitpun pada wajahku” (AR. Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 3701, dhaif).

 

 

Atsar 5

 

عَنْ مَنْصُورٍ قَالَ قُلْتُ لِمُجَاهِدٍ (سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ) أَهُوَ أَثَرُ السُّجُودِ فِى وَجْهِ الإِنْسَانِ؟ فَقَالَ : لاَ إِنَّ أَحَدَهُمْ يَكُونُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ مِثْلُ رُكْبَةِ الْعَنْزِ وَهُوَ كَمَا شَاءَ اللَّهُ يَعْنِى مِنَ الشَّرِّ وَلَكِنَّهُ الْخُشُوعُ.

 

Dari Mansur, Aku bertanya kepada Mujahid tentang maksud dari firman Allah, ‘tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud’ apakah yang dimaksudkan adalah bekas di wajah? Jawaban beliau, “Bukan, bahkan ada orang yang ‘kapal’ yang ada di antara kedua matanya itu bagaikan ‘kapal’ yang ada pada lutut unta namun dia adalah orang jahat. Tanda yang dimaksudkan adalah kekhusyukan (AR. Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 3702, dhaif).

 

 

Bahkan Ahmad as-Shawi mengatakan, “Bukanlah yang dimaksudkan oleh ayat adalah sebagaimana perbuatan orang-orang bodoh dan tukang riyak iaitu tanda hitam yang ada di dahi kerana hal itu adalah ciri khas khawarij (baca ahli bidaah)” (Hasyiah ash Shawi 4/134, Dar al Fikr).

 

 

Rasulullah Tidak Suka Tanda Dahi Hitam?

 

 

عَنْ أَنَسٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ : إِنِّي لَأَبْغَضُ الرَّجُلَ وَأْكْرَهُهُ إِذَا رَأَيْتُ بَيْنَ عَيْنِيهِ أَثَرُ السُّجُودِ

 

Dari Anas bin Malik ra dari Nabi saw bersabda, “Sungguh aku marah dan tidak menyukai seorang laki-laki yang ketika aku melihatnya terdapat bekas sujud di antara kedua matanya.” (Tafsir as-Sirajul Munir hal. 4/43 DKI, tidak ditemui asal menurut pentahqiq pada nota kakinya).

 

Dari al Azraq bin Qais, Syarik bin Syihab berkata, “Aku berharap boleh bertemu dengan salah seorang sahabat Muhammad yang boleh menceritakan hadith tentang Khawarij kepadaku. Suatu hari aku berjumpa dengan Abu Barzah yang berada bersama satu rombongan para sahabat. Aku berkata kepadanya, “Ceritakanlah kepadaku hadith yang kau dengar dari Rasulullah tentang Khawarij!”. Beliau berkata, “Akan kuceritakan kepada kalian suatu hadith yang didengar sendiri oleh kedua telingaku dan dilihat oleh kedua mataku. Sejumlah wang dinar diserahkan kepada Rasulullah lalu beliau membaginya. Ada seorang yang botak kepalanya dan ada hitam-hitam bekas sujud di antara kedua matanya. Dia mengenakan dua lembar kain berwarna putih. Dia mendatangi Nabi dari arah sebelah kanan dengan harapan agar Nabi memberikan dinar kepadanya namun beliau tidak memberinya. Dia lantas berkata, “Hai Muhammad hari ini engkau tidak membahagi dengan adil”. Mendengar ucapannya, Nabi marah besar. Beliau bersabda, “Demi Allah, setelah aku meninggal dunia kalian tidak akan menemukan orang yang lebih adil dibandingkan diriku”. Demikian beliau ulangi sebanyak tiga kali. Kemudian beliau bersabda,

 

يَخْرُجُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ رِجَالٌ كَانَ هَذَا مِنْهُمْ هَدْيُهُمْ هَكَذَا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ ثُمَّ لاَ يَرْجِعُونَ فِيهِ سِيمَاهُمُ التَّحْلِيقُ لاَ يَزَالُونَ يَخْرُجُونَ

 

“Akan keluar dari arah timur orang-orang yang seperti itu penampilan mereka. Dia adalah bahagian dari mereka. Mereka membaca al-Quran namun al-Quran tidaklah melewati tekak mereka. Mereka meleset dari agama sebagaimana anak panah tersasar dari binatang sasarannya setelah menembusnya kemudian mereka tidak akan kembali kepada agama. Ciri khas mereka adalah botak kepala. Mereka akan selalu muncul” (HR. Ahmad no. 19808, dinilai sahih li gharihi oleh Syeikh Syu’aib al Arnauth).

 

 

Ibnu Hajar al-Asqalani menyebutkan pendapat para ulama dari yang dimaksudkan atsar sujud dalam hadith, ada yang menyatakan:

 

هِيَ الْأَعْضَاءُ السَّبْعَةُ الْآتِي ذكرهَا فِي حَدِيث بن عَبَّاسٍ قَرِيبًا وَهَذَا هُوَ الظَّاهِرُ

 

Adalah snggota sujud yang tujuh yang disebutkan dalam hadith Ibnu Abbas dan ini yang zahir.

 

Sedangkan menurut Qadhi Iyadh lebih spesifik lagi iaitu:

 

الْجَبْهَةُ خَاصَّةً وَيُؤَيِّدُهُ مَا فِي رِوَايَةِ مُسْلِمٍ مِنْ وَجْهٍ آخَرَ أَنَّ قَوْمًا يُخْرَجُونَ مِنَ النَّارِ يَحْتَرِقُونَ فِيهَا إِلَّا دَارَاتِ وُجُوهِهِمْ فَإِنَّ ظَاهِرَ هَذِهِ الرِّوَايَةِ يَخُصُّ الْعُمُومَ الَّذِي فِي الأولى

 

Kening secara khusus, dan dikuatkan riwayat Muslim dari jalur lain, bahawasanya mereka keluar dari neraka dan mereka terbakar didalamnya kecuali kisaran wajah. Sebab zahir riwayat ini mengkhususkan yang umum dalam riwayat pertama.  (Fathul Bari 2/293).

 

Oleh kerana itu, ketika kita sujud hendaknya bersikap sederhana jangan terlalu berlebih-lebihan. Tindakan  inilah yang sering menjadi sebab timbulnya bekas hitam di dahi.

 

Sebagian besar ulama tidak menafsirkan أَثَرِ السُّجُودِ  ( bekas sujud) berupa bekas hitam di dahi.

 

Dilarang sengaja membuat tanda hitam di dahi, agar orang lain mengira kita ahli sujud, sehingga menjadi RIYA.

 

Ketika kita melihat orang yang mempunyai tanda hitam di dahinya, kita husnudzan, bahawa dia adalah ahli sujud, apabila bersesuaian dengan akhlak dan pengamalan agamanya yang bertepatan dengan sunnah.

 

Ketika ada tanda hitam di dahi kita, berusaha semaksima mungkin agar terhindar dari RIYA, UJUB, TAKABUR. Bahkan semakin banyak meminta perlindungan Allah, agar tidak termasuk orang yang dicela sebagaimana hadith di atas.

 

 

Rujukan

 

https://islamarchive.cc/H_583199

 

https://islamarchive.cc/H_583200

 

https://islamarchive.cc/H_583201

 

https://islamarchive.cc/H_583202

 

Nazhmud Durar fi Tanasubil Ayat wal Atsar hal. 4/216.

 

http://tanyaquransunnah.blogspot.com/2018/03/tanda-hitam-di-dahi.html?m=1

 

http://www.irfanabunaveed.net/2016/05/tanya-jawab-mengenai-bekas-tanda-sujud.html?m=1

 

https://ustadzaris.com/hitam-hitam-di-dahi-tanda-niat-tidak-suci

No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...