Monday 11 September 2023

Kalam emas Imam Syafie yang menolak taksub buta para pengikutnya

 

 

1.       Berkata Imam Syafie,

 

ما من أحد إلا وتذهب عليه سنة لرسول الله صلى الله عليه وسلم وتعزب عنه فمهما قلت من قول أو أصلت من أصل فيه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم لخلاف ما قلت فالقول ما قال رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو قولي

 

“Setiap orang boleh mengingati sesuatu riwayat dan boleh pula melupakannya. Adapun pendapat yang kami cetuskan atau kami dedahkan sumbernya tetapi berlawanan dengan apa yang berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam maka yang benar adalah apa yang berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dan itulah pendapatku.”(Tarikh Dimasyq Ibnu Asakir 15/1/3; I’lam al-Muwaqiin 6/363, sanadnya sahih)

 

Imam Syafi’i awal-awal lagi telah meletakkan kedudukan hadith Nabi di tempat yang tertinggi dalam kehidupannya. Berbeza dengan budaya sebahagian daripada kita yang meletakkan kedudukan mazhab Syafi’i lebih tinggi sebagai ikutannya berbanding kedudukan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

 

2.       Berkata Imam Syafie,

 

 

أجمع المسلمون على أن من استبان له سنة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يحل له أن يدعها لقول أحد

 

“Telah ijma’ (bersepakat) seluruh umat Islam bagi sesiapa yang telah jelas baginya sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, tidak halal baginya untuk meninggalkan sunnah tersebut kerana perkataan seseorang.”(I’lam al-Muwaqiin 6/361)

 

Adapun masyarakat pada hari ini, apabila orang membacakan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, mereka menolaknya dengan alasan ianya tidak pernah dibuat oleh Ulama Nusantara. Kita meletakkan hadis Nabi di hadapan mata mereka tetapi mereka mengatakan ia bukan amalan Ulama Nusantara. Kemudian apabila kita bertanya apa dalilnya, mereka mengatakan mustahil Ulama Nusantara itu tidak tahu dalilnya. Hujah seperti ini tidak relevan. Sekarang ini zaman di mana kita boleh mengkaji dan menganalisa maka kita perlu menganalisa dengan hati yang terbuka, bukan kerana kepentingan dan kecenderungan kepada mana-mana pihak. Adapun kecenderungan yang tidak boleh berbelah bahagi adalah kecenderungan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

 

3.       Berkata Imam Syafie,

 

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا ما قلت وفي رواية : فاتبعوها ولا تلتفتوا إلى قول أحد

 

“Apabila kamu mendapati di dalam kitabku sesuatu yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, maka berkatalah kamu dengan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan tinggalkanlah apa yang aku kata.” Dan dalam riwayat lain: “Maka ikutlah ia (Sunnah Nabi) dan janganlah kamu berpaling-paling kepada perkataan seseorang yang lain.” (Manaqib Imam Syafie 1/472; Hilyatul Auliya Abu Nua’im 9/107; al-Majmu a-Nawawi 1/63; Ma’rifatul Sunan wal Athar al-Baihaqi 1/537)

 

Maka apabila ada hadis Nabi, cukup dengan hadith Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Jangan beralih mencari pendapat-pendapat yang lain. Memadai langsung kita berpegang dengan hadith Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, kerana dia adalah Nabi. Adakah kita merasakan manusia lain lebih maju, lebih mulia dan tinggi kedudukannya daripada Nabi? Bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan perkataan-perkataan yang seperti ini.

 

4.       Berkata Imam Syafie,

 

إذا صح الحديث فهو مذهبي

 

“Apabila sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku.”(al-Majmu Imam Nawawi 1/105)

 

Perkataan ini yang menyebabkan Imam Tajuddin Al-Subki mengumpul maksud perkataan Imam Al-Syafi’i, sekiranya hadis itu sahih maka itulah mazhabku. Berbeza dengan kebanyakan di kalangan masyarakat kita, yang mengatakan sekiranya ianya ada dalam mazhab Syafi’i maka itulah mazhab kita. Ikatan kita itu lain, kita telah mengecilkan ilmu.

 

5.       Berkata Imam Syafie,

 

 

أنتم أعلم بالحديث والرجال مني فإذا كان الحديث الصحيح فأعلموني به أي شيء يكون: كوفيا أو بصريا أو شاميا حتى أذهب إليه إذا كان صحيحا

 

“Kamu (Wahai Imam Ahmad) lebih mengetahui tentang hadith dan ilmu rijal (ilmu tentang perawi-perawi hadith) daripadaku. Maka sekiranya ada hadith sahih maka maklumkanlah kepadaku di mana hadith itu: sama ada di Kufah, atau di Basrah, atau Syam sehingga aku pergi kepadanya sekiranya ianya sahih.”(al-Ihtijaj bil Syafie al-Khatib 8/1)

 

Perkataan ini dikatakan oleh Imam Syafi’i kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Ini menunjukkan kerendahan diri dan sifat tawaduk Imam Syafi’i, mengakui kelemahannya. Kalau Imam Syafi’i boleh merendah diri kepada muridnya Imam Ahmad bin Hanbal, kita lebih lagi perlu merendah diri dengan ilmuan-ilmuan. Jika tidak setuju dengan pendapatnya sekalipun bukanlah dengan cara memaki hamun.Imam Syaf’i juga tidak kisah di mana pun hadith itu, tidak kira ianya dari orang mana, dia sanggup pergi mencarinya selama mana hadith itu sahih.

 

6.       Berkata Imam Syafie,

 

كل مسألة صح فيها الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عند أهل النقل بخلاف ما قلت فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي

 

“Setiap masalah yang telah sahih khabarnya (riwayatnya) daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di sisi pakar-pakar hadith yang mana ia bercanggah dengan perkataanku maka aku tarik balik perkataanku sama ada ketika aku hidup dan juga selepas aku mati.” (Hilyatul Auliya Abu Nua’im  9/107)

 

Sebab itu Imam Al-Baihaqi rahimahullah digelar sebagai Nasiru Mazhabi Al-Syafi’i (penolong mazhab Syafi’i). Ini kerana Imam Baihaqi terkenal dengan ilmu hadis, mana-mana hadis sahih dia mengatakan ini mazhab Syafi’i, kerana dia berpegang dengan perkataan Imam Syafi’i ini walaupun mazhab Syafi’i adalah sebaliknya.

 

7.       Berkata Imam Syafie,

 

إذا رأيتموني أقول قولا وقد صح عن النبي صلى الله عليه وسلم خلافه فاعلموا أن عقلي قد ذهب

 

“Apabila kamu telah melihat aku berkata satu perkataan dan telah sahih daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam perkataan yang berbeza (dari perkataanku), maka ketahuilah bahawasanya akalku telah pergi (gila).”(Tarikh dimasyq Ibnu Asakir 15/10/1, Mustakhraj al-Mustadrak al-Iraqi hal 16; Aqidatus Salaf Ashabul Hadith as-Shabuni 4/5, dengan sanad yang sahih)

 

Ini jelas menunjukkan bahawa Imam Syafi’i tidak mahu menyelisihi petunjuk dan hadith dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

 

8.       Berkata Imam Syafie,

 

كل ما قلت فكان عن النبي صلى الله عليه وسلم خلاف قولي مما يصح فحديث النبي أولى فلا تقلدوني

 

“Setiap apa yang aku katakan, sekiranya daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bercanggah dengan perkataanku daripada perkataan Nabi yang sahih, maka hadith Nabi lebih utama dan jangan kamu bertaqlid kepadaku (mengikutiku).”(Ma’rifatul Sunan wal Athar al-Baihaqi 1/575, Tarikh Dimasyq Ibnu Asakir 51/386, Hilyatul Auliya Abu Nua’im  9/106, sanadnya sahih)

 

Imam Syafi’i memerintahkan supaya jangan mengikutinya sekiranya perkataannya bercanggah dengan hadith Nabi yang sahih.

 

9.       Berkata Imam Syafie,

 

كل حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم فهو قولي وإن لم تسمعوه مني

 

“Setiap hadith dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah perkataanku walaupun engkau tidak mendengarkannya daripadaku.”(Muqadimah Jarh wa Ta’dil Ibnu Abi Hatim 93-94)

 

Subhanallah. Sembilan ucapan Imam Al-Syafi’i menyuruh kita berpegang dengan hadith Nabi. Mudah dan senang untuk difahami. Imam Al-Syafi’i telah memberikan kepada kita metodologi dan manhaj cara beragama, beliau memerintahkan supaya jangan kita bertaqlid buta. Bukan suruh menolak mazhab, la hawla wala quwwata illa billah. Orang yang mengatakan apabila kita mengajak supaya kembali kepada hadith Nabi bererti kita menolak mazhab, kita katakan kepadanya seperti mana kata Imam Syafi’i, “maka bertakbirlah kepadanya empat kali (kerana kematiannya)” menggambarkan bahawa orang yang seperti ini tidak ada faedah kerana kejahilan mereka. Adakah mereka tidak tahu bahawa kita mengajak manusia mengikuti Nabi, bukan mengikuti mana-mana manusia, dan apakah mereka tidak tahu bahawa apabila kita membicarakan hal ini, kita mengajak orang supaya menjadikan Imam Syafi’i sebagai ikon untuk mengikuti dan kembali merujuk kepada Nabi. Jika hendak mengambil ikon yang lebih tinggi berbanding Imam Syafi’i sudah tentulah kita menjadikan sahabat Nabi sebagai ikon yang paling tinggi di dalam merujuk kepada Nabi dalam hal-hal berkaitan agama.

 

10.   Berkata Imam Syafie,

 

وَمَنْ فَاتَهُ التَّعْلِيْمُ وَقْتَ شَبَابِهِ فَكَبِّرْ عَلَيْهِ أَرْبَعًا لِوَفَاتِهِ

 

"Siapa yang tidak belajar di waktu mudanya, bertakbirlah empat kali (sebagai solat jenazah) atas kematiannya.” (Diwan Imam as-Syafi’i hal. 4)

 

Rujukan

 

https://ustazfathulbari.wordpress.com/2013/05/13/9-wasiat-imam-syafii/

 

Sifat Solat Nabi saw Syaikh al-Albani hal 61-69

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...