Tuesday, 22 October 2019

Darjat hadith membaca Bismillah sebelum wudhu




Ulama berbeza pendapat mengenai hukum mengucapkan bismillah ketika wudhu. 


Matan hadith 

لا وضوء لمن لم يذكر اسم الله عليه

Terjemahan

Tidak sah wudhu seseorang yang tidak mengucapkan bismillah (HR. Abu Tirmidzi no. 25 dan Ibnu Majah no. 309)


Takhrij

Al-Hakim berkata: Sahih. Tetapi Imam az-Zahabi dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani tidak menyetujuinya. Keduanya mendhaifkannya disebabkan Ya’qub dan bapanya adalah rawi yang majhul. Begitu juga dengan al-Bukhari, beliau berkata di dalam at-Tarikh, 4/76, “Salamah tidak diketahui mendengar dari Abu Hurairah, dan Ya’qub tidak diketahui mendengar dari bapanya.”

Tetapi hadith ini memiliki banyak syahid (penguat) di antaranya berdasarkan hadith dari Sahabat - Sa’id bin Za’id, ‘Aisyah, dan Sahl bin Sa’ad radhiyallahu ‘anhum.

Syeikh al-Albani mengatakan hadith tersebut hasan dari jalan Abu Hurairah.


Status kesahihan hadith di atas diperselisihkan oleh ulama ahli hadith. 

Ulama, yang menilai hadith tersebut sebagai hadith sahih, berpendapat bahawa membaca basmalah ketika berwudhu itu hukumnya wajib. Ini merupakan salah satu pendapat (riwayat) imam Ahmad, Hasan Al-Basri, Ishaq bin Rahuyah, dan beberapa ulama lainnya (al-Mughni, 1/184).


Namun ada beberapa ulama juga yang menyatakan bahwa hadith di atas dhaif, di antaranya salah satu pendapat dari Imam Ahmad, Imam Baihaqi, Imam Nawawi dan Imam al-Barraz. 

Imam Ahmad pernah diceritakan oleh muridnya, Abu Daud, “Aku pernah berkata pada Imam Ahmad, bagaimana hukum membaca bismillah saat wudhu.” Jawab Imam Ahmad, “Aku harap hukumnya tidak masalah jika ditinggalkan. Tidak membuatku terkagum jika meninggalkannya kerana keliru atau sengaja. Pokoknya, sanad hadith yang membicarakan masalah tersebut menuai kritikan.” (Masail Al Imam Ahmad, riwayat Abu Daud hal. 6, dinukil dari Minhatul ‘Allam, 1/224).



Imam Nawawi berkata,

وجاء في التسمية أحاديث ضعيفة ، وثبت عن أحمد بن حنبل رحمه الله أنه قال : لا أعلم في التسمية في الوضوء حديثاً ثابتاً

Ada beberapa hadith yang membicarakan tentang tasmiyah (sebelum wudhu), namun hadith-hadith tersebut dhaif. Imam Ahmad pernah mengatakan, “Aku tidak mengetahui ada hadith sahih yang membicarakan tasmiyah ketika wudhu.” (Al Adzkar, 33, cetakan Darut Taqwa)


Namun menurut Ibnu Katsir kerana hadith ini sebenarnya diriwayatkan dari banyak jalur sanad, darjat hadith naik menjadi Hasan Lighairihi. 


Ibnu Hajar Al Asqalani berkata,

والظاهر أن مجموع الأحاديث يحدث منها قوة تدل على أن له أصلاً

“Nampak bahawa dilihat dari berbagai macam jalur, hadith yang membicarakan anjuran bismillah saat wudhu saling menguatkan, yang menunjukkan adanya ajaran akan hal itu.” (Talkhisul Habir, 1/ 128)

Syaikh al-Albani berkata:

Jika mengakui hadith ini kuat, maka harus mengatakan dengan makna zahirnya, iaitu wajibnya membaca basmalah. Kerana tidak ada dalil yang membolehkan keluar dari makna zahir ini kepada pernyataan bahawa perintah ini hanyalah suatu anjuran (Tamamul Minnah, hal. 93, Pustaka Sumayyah).


Sehingga seandainya hadith di atas sahih maka ia hanya menunjukkan kesunnahan mengucapkan bismillah bukan wajib. Mereka berpendapat demikian kerana selain hadith di atas masih banyak ayat dan hadith tentang wudhu lainnya  (hadith Ustman bin Affan, HR. Bukhari no. 159 dan hadith Abdullah bin Zaid, HR. Bukhari no. 185 ) yang tidak menegaskan kewajiban hal tersebut.


Imam an-Nawawi menganggap ia sebagai suatu sunnah dan perlu dilakukan di awal wudhu’. Jika terlupa di awal wudhu hendaklah membacanya di pertengahan atau di akhir wudhu (Radhatuth Thalibin dan al-Adzkar an-Nawawiyah)


Dengan demikian tidaklah batal wudhu seseorang yang tidak melakukannya baik kerana lupa atau sengaja. 

Hanya saja sangat rugi jika ia meninggalkan kesunnahan mengucapkan bismillah yang boleh menyempurnakan kualiti wudhu. 



Kesimpulan

Majoriti ulama menganggap membaca bismillah sebelum wudhu adalah sunnah yang sangat dianjurkan sahaja bukan wajib (Fatwa Ibn Baaz 10/28).

Disebutkan oleh Syaikh ‘Abdullah Al Fauzan,

Pendapat yang menyatakan hukum membaca bismillah saat wudhu adalah sunnah, itulah yang lebih kuat -insya Allah-. Namun sunnahnya itu begitu ditekankan, jangan sampai ditinggalkan dengan sengaja (Minhatul ‘Allam, 1: 224).


Wallahu a’lam.


Rujukan


http://www.alukah.net/web/dbian/0/27713/

Fatwa Soaljawab Islam no. 23308

No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...