Rasulullah s.a.w. bersabda,
عن أنس بن مالك أنَّ رَجُلًا قالَ: يا رَسولَ اللهِ، أيْنَ أبِي؟ قالَ: في
النّارِ، فَلَمّا قَفّى دَعاهُ، فقالَ: إنَّ أبِي وأَباكَ في
Dari Anas r.a. bahawa ada seorang
lelaki berkata: “Wahai Rasulallah, ayahku berada di mana?” Nabi s.a.w.
menjawab: “Di dalam neraka.” Apabila lelaki itu berpaling pergi, Baginda
s.a.w., memanggilnya lalu bersabda: “Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam
neraka.” (HR. Muslim no. 203).
Rasulullah s.a.w. bersabda,
اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لأُمِّي فَلَمْ يَأْذَنْ لِي ،
وَاسْتَأْذَنْتُهُ أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأَذِنَ لِي
Aku telah meminta izin Tuhanku
agar aku boleh meminta ampun untuk ibuku tetapi Dia tidak mengizinkan untukku.
Aku juga telah meminta izinNya agar aku dapat menziarahi kuburnya lalu Dia
mengizinkan untukku.
Berkata Pengarang 'Aun al-Ma'bud
9/40:
"tetapi Dia tidak
mengizinkan untukku" kerana ibunya adalah kafir dan meminta ampun untuk
orang kafir adalah dilarang."
Berkata al-Imam
al-Nawawi:
"Petunjuk dalam hadith ini:
larangan meminta ampun untuk orang-orang kafir."
Penjelasan Ringkas
PERTAMA: Imam al-Nawawi dalam
Syarah Sahih Muslim 3/79 mengatakan:
فيه أن من مات على الكفر فهو في النار ولا تنفعه قرابة المقربين وفيه أن من
مات في الفترة على ما كانت عليه العرب من عبادة الأوثان فهو من أهل النار وليس هذا
مؤاخذة قبل بلوغ الدعوة فإن هؤلاء كانت قد بلغتهم دعوة إبراهيم وغيره من الأنبياء
صلوات الله تعالى وسلامه عليهم وقوله صلى الله عليه وسلم إن أبي وأباك في النار هو
من حسن العشرة للتسلية بالاشتراك في المصيبة
Di dalam hadith ini ada
pengajaran bahawa sesiapa yang mati dalam kufur, maka dia akan ke neraka. Kaum
kerabat yang hampir dengan Allah tidak bermanfaat kepadanya. Dalam hadis ini
juga ada pengajaran bahawa sesiapa yang mati dalam tempoh fatrah (zaman tidak
diutus rasul), sedangkan dia mengikut cara Arab dengan menyembah berhala, maka
dia adalah ahli neraka. Ini tidak bermakna mereka yang tidak sampai seruan
dakwah diambil kira salah dan silap mereka, kerana mereka telah sampai seruan
dakwah Nabi Ibrahim dan Nabi-nabi lainnya a.s. Manakala sabda Baginda s.a.w.
(Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka..) adalah untuk baik pergaulan
agar terhibur hati kerana sama-sama ditimpa musibah.
KEDUA: Ada kemungkinan imam
al-Nawawi juga berpendapat bahawa ayah dan ibu Nabi s.a.w. masuk neraka. Mulla
Ali Qari di dalam Syarah Misykat berpendapat ayah dan ibu Nabi s.a.w. masuk
neraka.
KETIGA: Masalah: Bagaimana dengan
hadith-hadith yang menceritakan bahawa ayah dan ibu Nabi s.a.w. akan
dibangkitkan semula kemudian beriman?
Jawab: Mulla Ali Qari di dalam
Al-Asrar al-Marfu'ah Fil Akhbar al-Maudhu'ah
mengatakan, hadith-hadith berkaitan ibubapa nabi dibangkitkan semula
kemudian beriman adalah maudhu’.
KEEMPAT: Imam Jalalludin
al-Sayuthi ada menulis sebuah kitab Pendapat Para Ulama Tentang Ibubapa Nabi
s.a.w. Yang Dihidupkan. Di dalamnya beliau mempertahankan hadith-hadith
berkaitan ibubapa Nabi s.a.w. dihidupkan dengan mengatakan ia tidak sampai
taraf maudhu’. Pendapat ini adalah
pendapat yang disanggah oleh kebanyakan ahli ilmu. Mereka menghukum
hadith-hadith yang mengatakan demikian sebagai samada hadith yang palsu atau
amat lemah.
KELIMA: Para ulama Asya’irah yang
mempertahankan keimanan ibubapa Nabi s.a.w. tidak menggunakan hadith riwayat
Muslim ini, tetapi mereka menggunakan hujah-hujah lain, antaranya ialah:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا ﴿الإسراء: ١٥﴾
Dan tiadalah Kami mengazabkan
sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar
dan yang salah). (Al-Isra’: 15)
KEENAM: Maulana Shabbir Ahmad
Usmani dalam Fathul Mulhim syarah Sahih
Muslim ada menyatakan bahawa al-Qurtubi ada membawa riwayat-riwayat yang
mengatakan ibubapa Nabi s.a.w. akhirnya masuk syurga dengan syafaat Baginda
s.a.w. Dan hadith ini nyatakan sebagai hadith yang sahih. Ibnu Nashiruddin
al-Syami juga mengatakan hadith ini sahih.
Persoalannya: Bagaimana dengan
hadith sahih Muslim yang menyatakan ibubapa Baginda s.a.w. masuk neraka?
Jawab: Hadith berkenaan adalah
sebelum Baginda s.a.w. tahu bahawa ibubapanya masuk syurga atas syafaatnya.
KETUJUH: Berkata
Pengarang 'Awn al-Ma'bud 12/494:
"Semua hadith yang berkenaan
penghidupan semula ibu bapa Rasulullah s.a.w. dan keimanan mereka berdua serta
keselamatan mereka kebanyakannya adalah palsu, bohong lagi direka dan sebahagiannya
pula adalah sangat dhaif. Ianya tidak sahih sama sekali dengan kesepakatan
imam-imam hadith ke atas pemalsuannya, seperti al-Daraqutni, Ibn Shahin,
al-Khatib, Ibn 'Asakir, Ibn Nasir, Ibn al-Jauzi, al-Suhayli, al-Qurtubi,
al-Muhib al-Tabari, Fath al-Din bin Sayyid al-Nas, Ibrahim al-Halibi dan banyak
lagi. Al-'Allamah Ibrahim al-Halabi telah menjelaskan secara terperinci
berkenaan ketidakselamatan ibu bapa Nabi s.a.w. dalam satu risalah khas.
Ketepatan pegangan ini disokong oleh hadith sahih ini: "Sesungguhnya ayahku
dan ayahmu di dalam neraka." Al-Shaykh Jalal al-Din al-Suyuti telah
menyalahi para Huffaz dan para ulama yang teliti di mana dia telah menetapkan
bari ibu bapa Nabi s.a.w. keimanan dan keselamatan dengan mengarang beberapa
risalah berkenaannya, antaranya ialah 'Risalah al-Ta'zim wa al-Minnah fi anna
abaway Rasulillah s.a.w. fi al-Jannah'. "
Shaykhul Islam r.a. telah
ditanya:
“Adakah sahih riwayat daripada
Nabi s.a.w. bahawa Allah Tabaraka wa Ta’ala telah menghidupkan ibubapa Nabi dan
mereka beriman di tangannya kemudian mereka mati semula?”
Lalu beliau menjawab, “Tidak sah
riwayat itu daripada sesiapapun di kalangan pakar hadith. Bahkan para ulama
bersepakat bahawa perkara itu adalah bohong dan rekaan… Tiada khilaf di
kalangan para ulama bahawa itu amat jelas kepalsuannya seperti yang dinyatakan
oleh para ulama. Riwayat itu tidak terdapat dalam kitab-kitab muktabar dalam
hadith; tidak dalam kitab sahih, sunan, musnad mahupun apa sahaja kitab-kitab
hadith yang masyhur. Ianya tidak juga dinyatakan oleh pengarang-pengarang kitab
sejarah dan tafsir walaupun mereka ada juga meriwayatkan hadith da’if di
samping sahih. Ini kerana kejelasan pembohongan riwayat itu tidak tersembunyi
langsung ke atas mana-mana orang yang beragama. Perkara begini sekiranya berlaku,
pasti ianya akan menjadi satu perkara yang amat diberi perhatian dan usaha
untuk disebarkan kerana ia merupakan antara perkara yang amat jelas menyalahi
adat kebiasaan dari dua sudut iaitu dari sudut menghidupkan orang mati dan dari
sudut keimanan selepas kematian. Justeru pasti penyebaran berita sebegini lebih
utama daripada penyebaran berita lain. Apabila tiada seorangpun di kalangan
orang-orang yang terpecaya meriwayatkannya, ini menunjukkan perkara ini adalah
bohong… Seterusnya, perkara ini adalah bercanggahan dengan al-Kitab dan
al-Sunnah yang sahih serta Ijma’. Firman Allah Ta’ala (al-Nisa’ 4:17-18): {17.
Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang
yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera
bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya;
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. 18. dan tidak ada
gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga
apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia:
"Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu
sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang
mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka
azab seksa yang tidak terperi sakitnya}. Di dalam ayat tadi, Allah telah
menjelaskan bahawa tiada taubat bagi orang yang mati dalam keadaan kafir.
Firman Allah Ta’ala lagi (Ghafir 40:85): {85. maka iman yang mereka katakan
semasa melihat azab kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian
adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang
telah berlaku kepada hamba-hambanya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang
kufur ingkar}. Di dalam ayat ini, Allah telah menjelaskan bahawa sunnahNya
dalam hamba-hambaNya ialah Iman tidak bermanfaat selepas dilihat al-ba’s
(azab), apatah lagi dengan maut. Dan banyak lagi nas-nas seumpamanya…” Kemudian
beliau ada juga membawa dua hadith seperti di atas. (Diringkaskan daripada
Majmu’ al-Fatawa. 4/325-327).
Berkata Shaykh Bin
Baz r.a.:
"Apabila Nabi s.a.w. berkata
"Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka," baginda menyebutnya
berdasarkan ilmu, kerana baginda s.a.w. tidak menuturkan sesuatu berdasarkan
hawa nafsu, seperti yang disifatkan Allah tentangnya dalam firmanNya {1. Demi
bintang semasa ia menjunam, -2. rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh
dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar),
dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). 3. dan ia tidak
memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan
pendapatnya sendiri. 4. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau
hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadaNya.} (Surah al-Najm
53:1-4). Jika tidak kerana Abdullah bin Abdul Muttalib yang merupakan ayah Nabi
s.a.w. telah tertegak hujah ke atasnya, pasti Nabi s.a.w. tidak akan mengatakan
tentangnya seperti itu. Maka kemungkinan telah sampai kepadanya perkara yang
menegakkan hujah daripada agama Nabi Ibrahim s.a.w. Ini kerana mereka iaitu
masyarakat Arab dahulunya mereka berada di atas agama Nabi Ibrahim sehingga
mereka membuat amalan baru yang dipelopori oleh Amr bin Luhayy al-Khuza'i.
Amalan Amr telah berleluasa dalam masyarakat; iaitu penyebaran patung-patung
dan berdoa kepadanya bukan kepada Allah. Kemungkinan yang ada ialah Abdullah
(Ayah Rasulullah) telah sampai kepadanya maklumat bahawa apa yang diamalkan
Quraish iaitu penyembahan patung-patung adalah batil akan tetapi dia tetap
mengikuti mereka; dengan ini telah tertegaklah hujah ke atasnya. Begitu jugalah
keadaanya dengan hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah
meminta izin untuk meminta ampun untuk ibunya tetapi tidak diizinkan Allah,
kemudian Baginda meminta izin untuk menziarahi kubur ibunya lalu diizinkan Allah;
tidak dibenarkan Baginda meminta ampun untuk ibunya, berkemungkinan kerana
telah sampai kepada ibunya penjelasan yang tertegak dengannya hujah. Ataupun
kerana urusan orang-orang jahiliyyah adalah seperti urusan orang kafir pada
hukum-hukum dunia di mana tidak didoa untuk mereka dan tidak juga diminta ampun
untuk mereka kerana pada zahirnya mereka adalah kafir dan mereka pada zahirnya
bersama orang-orang kafir lalu urusan mereka adalah urusan orang kafir, dan
kesudahan mereka di akhirat nanti diserahkan kepada Allah jua." (Fatawa
Nur 'ala al-Darb 5/180-182).
KESIMPULAN
Perkara ini adalah khilaf antara
para ulama. Semua mereka tidak kira apapun pegangannya dalam hal ini adalah
masih termasuk di kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Ia tidak mendatangkan
apa-apa kesan terhadap amalan kita, dan tidak pula mengurangkan cinta kita
kepada Nabi saw.
Lihat saja berapa banyak Nabi dan
keturunannya yang telah Musyrik, tetapi kita masih boleh bertenang:-
(1) Nabi Ibrahim, seorang manusia, rasul, dan
nabi yang sangat mulia.. termasuk salah seorang dari nabi Ulul Azmi... bahkan
baginda digelar "Khalilullah" kekasih Allah... tetapi, bapanya bukan
seorang Islam (rujuk : At-Taubah: 114),
(2) Nabi Luth as, seorang nabi yang ulung,
menentang arus keseluruhan kaum zamannya,, tetapi, isterinya seorang kafir.
(Rujuk: Al-Hijr: 58-60)
(3) Nabi Nuh as, seorang yang sangat mulia dan
sangat agung.. tetapi anaknya seorang kafir. anak yang lahir dari tulang
sulbinya sendiri.. (Rujuk: Hud: 45-46)
Syed Qutb menyebut
dalam kitabnya Az-Zilal hal. 2202 :
Perdebatan dengan gaya yang
terbaik itu : adalah tanpa membawa kesalingan berbeza, tidak menolak, dan
memburuk-burukkan. Sehingga membawa ketenangan pada diri daie, dan dia merasai
bahawa tujuannya bukanlah untuk menang dalam perdebatan, tetapi untuk
meyakinkan dan membawa kepada kebenaran. Jiwa manusia ini mempunyai keangkuhan
dan kedegilannya, dan ia tidak boleh dihilangkan dari pendapat yang
mempertahankannya melainkan dengan kelembutan, sehingga ia tidak merasai kekalahan.
Nilai pandangan itu sangat cepat
bercampur dengan jiwa dan nilainya ada
pada sisi manusia, merendahkan pandangan merupakan perendahan terhadap
kebolehannya, kemuliaannya, serta keberadaannya. Perdebatan dengan gaya terbaik
adalah yang mampu menundukkan keangkuhan emosi ini. Kedua pendebat perlu
merasai dirinya terkawal, nilai dirinya mulia. Daie itu tidak bermaksud
melainkan menyingkap kebenaran dalam zatnya, dan menenangkan kebenaran
tersebut, pada jalan Allah, bukan pada jalan dirinya sendiri , bukan mahu memenangkan pandangannya, dan bukan mahu
mengalahkan pandangan pihak lain.”
Rujukan
Fatwa Soaljawab islam no. 47170, 290276,
220100
Fatwa Syabakah Islamiyah no.
253771
Fatwa Islamonline no. 10514.
https://www.ustazusa.com/2012/09/kajian-ibubapa-rasulullah-saw-ke-syurga.html?m=1
No comments:
Post a Comment